
Lumrah hidup manusia di dunia ini yang
sentiasa memerlukan teman tidak kira untuk berbicara ataupun cukup dengan hanya
kehadirannya. Tiada seorang manusia pun di dunia ini yang mahu hidup
bersendirian tidak berteman. Masa akan berlalu dengan amat perlahan dan tiada
tempat untuk bergantung harapan. Ramai yang mengatakan mereka selesa hidup
bersendirian tetapi pada hakikatnya kehidupan mereka sentiasa melibatkan
interaksi sesama manusia samada dalam keadaan sedar ataupun tidak. Disebabkan
ini jugalah ramai penjenayah yang dipenjarakan menjadi tidak siuman kerana
halangan berinteraksi dengan manusia lain. Tanpa teman seorang manusia akan
hilang sokongan dan menjadi lemah serta tidak berdaya.
Inilah apa yang berlaku kepada
seorang budak lelaki yang baru berusia belasan tahun. Selalunya dia akan
sentiasa bersama dengan ayah dan ibu di sisi tetapi tidak pada malam ini. Keseorangan
dia merayau-rayau di dalam hutan tebal yang gelap gulita. Tambahan pula tiada
sebarang peralatan dibawa untuk membantunya hidup di dalam hutan tebal seperti
kebiasaan pengembara hutan. Hanya sebatang payung yang berlubang-lubang dan
sebuah beg galas biasa berisi pakaian yang menjadi teman.Nasib baik pada waktu
itu cahaya terang bulan purnama dapat membantu mengemudi perjalanannya pada malam
itu.
Keadaan budak lelaki ini juga tidak
berapa baik. Pakaiannya terkoyak-koyak dan dipenuhi kesan kotoran dan
kebakaran. Garis-garis luka kecil dan kesan-kesan darah terdapat pada setiap
pelusuk bahagian badannya yang terdedah. Pergerakkan juga agak perlahan dan
tidak keruan. Terencut-encut dia mengharungi liku-liku di dalam hutan. Nasib
baik payung yang dibawanya boleh dijadikan sebagai tongkat untuk menampung
beban badan. Matanya sedikit kemerahan dan bengkak-bengkak akibat tangisan yang
keterlaluan.
Batang-batang pokok kayu yang besar
berdiri megah di sekitarnya. Walaupun begitu ada juga yang jatuh menghempas
bumi sebelum waktunya menambahkan lagi kesukaran untuk merentasi hutan tebal
ini. Tanahnya juga tidak rata, sekejap berbatu dan sekejap dipenuhi belukar
serta bonjolan-bonjolan besar akar-akar kayu. Dia juga kadang-kadang terpaksa
mendaki dan menuruni bukit-bukit kecil. Keadaan dingin malam
membuatkan seluruh kawasan hutan lembap dan licin. Berbekalkan selipar jepun,
dia melangkah dengan lebih berhati-hati di mana setiap langkah membawa seribu
harapan untuk keluar dari kawasan yang tidak bertamadun ini. Walaupun serba
kekurangan tetapi semangatnya tetap tabah.
Setelah berjalan entah berapa lama
dia mula terasa sengal-sengal dan keperitan di kedua-dua belah kaki. Tanpa
banyak persoalan dia mengambil keputusan untuk berhenti seketika dan duduk
bersandar di sebatang pokok besar yang terdapat beberapa kaki di hadapan.
Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah melihat mahupun menyangka ada pokok yang
sebesar ini. Pokok yang paling besar pernah dilihat adalah pokok-pokok yang
terdapat di tepi-tepi jalan ditanam oleh pihak berkuasa tempatan. Ibunya juga
gemar menanam pokok-pokok bunga hiasan di hadapan rumah tetapi beratus kali
ganda kecil dari apa yang berada dipersandaran. Tiap-tiap pagi selepas
menyiapkan sarapan ibu akan terus menjaga tanamannya. Memang minat ibu menanam selain
dari memasak. Teringat akan wajah senyuman ibu, hatinya merasa sangat hiba dan
sayu.
“Ibu... isk... isk… ayah… isk…”
tangis budak lelaki ini teresak-esak mengenangkan nasib kedua orang tuanya.
Air mata panas kembali mengalir
perlahan di pipi. Dia tidak dapat menahan lagi perasaan sedih yang melanda
dirinya apabila imej ngeri ayah dan ibu terbayang-bayang di hadapan mata. Tidak
disangka-sangka malam ini merupakan malam terakhir dia bersama dengan ayah dan
ibu. Malam dimana dia terpaksa berpisah dengan mereka untuk selama lamanya.
Begitupun hakikat ini, ia amat berat baginya. Manusia mana yang tidak sedih
apabila orang yang amat disayangi, yang menjaga dan mendidik semenjak lahirnya
dia di dunia, yang sentiasa berada di masa susah dan senang, suka dan duka,
meninggal pergi begitu sahaja. Meninggalkan dia keseorangan di hutan belantara
yang penuh ranjau. Dia hanyalah seorang budak mentah yang baru meningkat ke darjah
enam. Seluruh badan bergetar menahan tekanan kesedihan.
Terlalu banyak babak-babak dahsyat
yang berlaku ke atasnya hari ini sehinggakan dia tidak dapat mencari
rasionalnya di mana. Semuanya berlaku dalam sekelip mata dan ini menyebabkan
perasaan sedih dan takut bercampur baur di dalam hati. Tetapi berkat kemampuan
otaknya yang luar biasa dia dapat mengingat kembali punca semua perkara ini
walaupun di dalam keadaan tertekan. Punca yang dia sendiri tidak dapat menerima
logiknya walaupun dianugerahi dengan akal yang bijak.
Semuanya bermula sewaktu dia dan
kedua orang tuanya dalam perjalanan pergi ke Pulau Langkawi dari Kuala Lumpur.
Perjalanan untuk ke destinasi mengambil masa yang lama apatah lagi perjalanan
pulangnya. Walaupun begitu mereka sekeluarga sudah biasa akan perjalanan yang
panjang itu kerana dalam tempoh beberapa bulan ini, telah hampir berpuluh kali
mereka pergi dan pulang mengikut jalan yang sama. Pada mulanya memang penat
tetapi apabila dilakukan berulang kali ia telah menjadi satu kebiasaan. Penat
lelah yang dirasai mereka akan terubat apabila tiba di pulau itu untuk berjumpa
dengan seseorang yang mempunyai pertalian darah. Seseorang yang amat dirindui
oleh mereka sekeluarga.
Imbas Kembali
“Abang… kalau penat kita berhentilah
dulu di perhentian nanti ya. Bahaya memandu dalam keadaan penat. Lebih lagi
dengan keadaan malam dan cuaca hujan lebat begini.” terdengar pesan ibu kepada
ayah sekaligus memecah tumpuan semua pemandu dan penumpang kepada siaran radio
yang berkumandang di dalam kereta.
Ayah menjawab dengan tenang dan tidak
sedikit pun mengalihkan perhatian dari pemanduan keretanya “Ehh... tak apalah. Tak
jauh lagi ni. Sikit lagi sampailah. Lagipun dah lewat. Kalau berhenti, entah
pukul berapa kita akan sampai nanti. Lagipun lepas jemput kita akan bermalam
disanakan.“ .
“Baiklah abang. Mah cuma nasihatkan
sahaja. Kalau abang larat teruskan sahaja perjalanan.“ ibu ringkas membalas lalu
merenung jauh. Mah adalah nama singkatan bagi Fatimah yang sering kali
digunakan apabila pasangan ini berbicara.
“Hm... yelah yelah.“ ayah kerimasan.
Tiada perbualan vokal disambung
setelah ayah menjawab percakapan ibu dan tumpuan kembali kepada siaran radio.
Keadaan di dalam kereta pada waktu itu agak janggal kerana kebiasaannya ibu
akan menyambung lagi percakapannya. Kadang-kadang sehingga bertikam lidah. Adat
asam garam rumah tangga. Namun kejanggalan itu sedikitpun tidak dihiraukan oleh
budak lelaki yang duduk ditempat duduk belakang membelankangi ayah. Baginya
sedikit perkara yang terkeluar dari rutin tidak memberi sebarang maksud. Bosan
dengan keadaan itu, dia mula mengalihkan perhatian ke tingkap kereta.
Titisan-titisan air hujan kelihatan memenuhi cermin tingkap diikuti pula dengan
cahaya-cahaya lampu kereta dari arah bertentangan yang sesekali berkilauan melepasi
mereka. Bunyi rintisan hujan, rentetan percikkan air dari tayar kenderaan dan
deruman enjin kenderaan memenuhi suasana.
Seraya itu juga, tampa sesiapa pun
menyangka, terdengar ibu menyambung kembali percakapannya. “Cu... cuma Mah rasa
tidak sedap hati semenjak kita bertolak pergi. Tak pernah Mah rasa macam ni.”
Sebaik sahaja Ibu meluahkan apa yang
terbuku dihati, dia memaling ke cermin sisi kereta disebelah. Kerisuan terukir
di setiap inci wajahnya. Menyedari keadaan ibu serba tak kena, ayah pun segera
memujuk.
“Alahhh... tak payah risau sangat
Mah. Tak ada apa-apa kot tu. Mungkin mainan perasaan awak je. Dulu-dulu, masa
awak mengandungkan anak kitapun macam ni jugak perangai awak. Dah lah Mah, jangan
pikir banyak sangat.” ayah cuba menyuntik cas positif untuk menenangkan ibu.
“Mungkin...” gumam ibu ringkas
menandakan perasaan resah dan ragu-ragu masih menebal.
Memandangkan usahanya tidak berjaya,
ayah lalu mendiamkan diri sambil memberi tumpuan terhadap pemanduan.
Sayup-sayup kedengaran bunyi guruh di luar berdentam dentum. Apa yang
dijangkakan oleh penumpang tempat duduk belakang terbukti benar. Cuma
kesinambungannya berlaku agak lambat dan tamat dengan cepat. Keadaan kembali
tenang. Masing-masing menyusuri pemikiran sendiri diikuti alunan musik radio. Penumpang
belakang masih lagi memberi perhatian kepada keadaan diluar kenderaan. Tiada
apa yang dapat dilihat diluar sempadan jalanraya kecuali kegelapan. Apabila
cahaya-cahaya kilat memancar di langit, barulah sedikit persekitaran lanskap dapat
dilihat. Itupun sejenak sahaja.
Imej bayang-bayang pokok pelbagai
saiz serta banjaran-banjaran gunung memenuhi seluruh kawasan. Baginya ia bagai
sebuah permainan kerana setiap apa yang muncul di ufuk adalah sesuatu yang
berlainan dan semuanya bergantung kepada kekerapan berlakunya pancaran kilat.
Semakin banyak kilat memancar semakin banyak imej yang boleh dilihat dimana dia
boleh juga meneka-neka. Apalagi yang boleh dilakukan oleh budak lelaki di dalam
kotak besi bergerak selain menjadi lebih kreatif mencipta permainan sendiri
untuk menghilangkan bosan. Melihatkan pemandangan itu dia tahu dimana mereka
berada sekarang.
Inilah jalan lebuhraya yang
menghubungkan utara dan selatan tanah semenanjung atau lebih dikenali dengan
nama lebuhraya utara-selatan. Panjang lebuhraya ini dari hujung ke hujung
adalah lebih kurang 800 kilometer dan ia terpaksa merentasi hutan-hutan tebal
serta banjaran-banjaran besar yang terdapat ditengah-tengah tanah semenanjung.
Di sini, jalan lebuhraya tidak lagi mendatar. Ia berliku-liku mendaki dan
menuruni banjaran yang tinggi. Sesiapa yang melaluinya pada waktu siang pasti
akan terasa gayat melihat gaung yang dalam disisi jalan. Perutnya penuh dengan
pokok-pokok yang besar.
Keadaan akan bertambah menakutkan
jikalau cuaca hujan kerana jalan akan menjadi bertambah lincin dan pemandangan
pula menjadi kurang jelas. Lorong-lorong laluan pula tidak tetap dimana
sesetengah kawasan terdapat tiga lorang dan setengah yang lain pula terdapat
dua lorong. Lori-lori dan bas-bas besar banyak melalui jalan ini tidak kira
siang atau pun malam. Disebabkan faktor-faktor anamoli di kawasan seperti ini,
peratusan berlakunya kemalangan jalanraya meningkat dengan mendadak.
Tidak kurang juga yang mengaitkan
kemalangan di lebuhraya ini dengan pelbagai cerita-cerita seram, misteri dan
menakutkan terutama sekali bagi kes-kes kemalangan yang tiada penyudahan. Dia
banyak mendengar pelbagai cerita ini dari rakan-rakannya. Ada yang mengatakan
jalan ini berpuaka dan ada juga yang menceritakan lebuhraya ini dibina diatas
kubur lama serta tidak kurang juga yang berkata sesetengah bahagian lebuh raya
ini merupakan laluan orang-orang bunian. Diantara banyak-banyak desas desus ini
yang paling menarik perhatian adalah kisah dimana jalan ini dihuni oleh
makhluk-makhluk yang tidak dikenali asal usulnya.
Sebagai contoh baru-baru ini telah
berlaku satu kemalangan yang tidak dapat dikenal pasti sebab musababnya. Kereta
yang terlibat tidak berlanggar atau mempunyai sebarang kesan pelanggaran. Ia
terletak elok di tepi jalan. Apa yang menjadikan kejadian itu satu kes
kemalangan adalah trajedi maut yang menimpa pemandu kereta tersebut. Keadaan mayat
mangsa didapati begitu aneh dan mengerikan. Mayat mangsa ketika ditemui tidak
berkepala dan seluruh bahagian dadanya telah dirobek. Kebanyakkan organ dalaman
mangsa telah hancur dan hilang tanpa kesan seolah-olah telah dimakan sesuatu. Kedudukan
mayat pula pelik kerana ia bukan berada di dalam kereta mahupun di sekitar
kawasan kemalangan tetapi berada di atas bumbung kereta. Menurut laporan forensik,
kesan-kesan gigitan serta tabiat pemakanan tidak sama dengan binatang-binatang
buas tempatan.
Saksi yang masih hidup adalah merupakan
isteri kepada pemandu. Menurut laporan polis, dia adalah satu-satunya saksi
yang dapat memberikan keterangan. Bahkan dia juga telah melihat dengan mata
kepalanya sendiri kejadian ngeri dan menakutkan itu berlaku. Keterangan saksi menyatakan
trajedi ngeri berlaku pada lewat tengah malam dimana keadaan lebuh raya sangat
lengang. Hanya kenderaan logistik dan beberapa kenderaan persendirian sahaja mundar-mandir.
Seperti kebiasaan, mereka sekeluarga pasti akan melalui lebuhraya itu untuk
pulang ke rumah setelah melawat rumah saudara dari arah utara. Cuma pada hari
kejadian mereka pulang lewat malam kerana hal-hal disana selesai pada waktu
itu. Sewaktu dalam perjalanan, tiba-tiba mereka terdengar bunyi dentuman kuat
di atas bumbung kereta seperti ada sesuatu yang jatuh di atasnya. Dengan segera
mangsa terus memberhentikan kenderaan di laluan kecemasan dan segera keluar
untuk memeriksa. Saksi yang berada di tempat duduk penumpang hadapan tidak
menyedari kehilangan suaminya sehinggalah dia terdengar bunyi dentuman yang
lebih kuat berulang beberapa kali di tempat sama.
Risau akan ketiadaan suaminya, dia
segera keluar dari kenderaan dan mendapati ada seekor makhluk yang besar sedang
melapah sesuatu di atas bumbung kereta yang dinaiki mereka. Menurut saksi, dia
tidak pernah melihat binatang atau makhluk hidup seperti itu sepanjang
hidupnya. Disebabkan keadaan malam yang gelap perempuan itu tidak dapat menggambarkan
makhluk aneh itu tetapi serba sedikit menyatakan ia berwarna hitam, bermata
merah saga dan bertaring serta berkuku panjang. Pada mulanya dia tidak
mengetahui apakah yang sedang dimamah oleh makhluk aneh itu sehinggalah dia
terlihat pakaian suaminya membaluti sekelumat daging diatas bumbung kereta.
Apabila diteliti dengan betul dia mendapati makanan makluk itu adalah tubuh
suaminya sendiri yang sudah tidak berkepala. Akibat dari perasaan terkejut yang
amat sangat, perempuan itu menjerit dengan sekuat hatinya lalu jatuh pengsan.
‘Ehh... cita tu bukan kat highway karak
ke? Ah... mana-manalah. Highway mana pun semua sama je. Menakutkan. Lebih-lebih
lagi dalam kegelapan malam. Ish... meremang bulu roma aku.’ Dia memeluk tubuh
dan menggigil seketika tanda kengerian.
Dalam suasana begini, memang agak
menakutkan apabila teringat kembali cerita-cerita seram yang berlaku di
lebuhraya. Tetapi dia sekeluarga telah berbulan melalui jalan yang sama dan
tidak pernah mengalami apa-apa pengalaman pelik serta menakutkan. Bagi seorang
penduduk bandar sepertinya, cerita-cerita aneh seperti ini hanyalah urban legend yakni cerita-cerita yang
tiada kepastian benarnya dibawa dari turun temurun oleh pembawakan mulut
manusia. Walau bagaimanapun, melihatkan keadaan banjaran-banjaran tanah yang
tinggi serta hutan-hutan tebal yang gelap gulita tidak hairanlah cerita-cerita
menakutkan seperti itu timbul di kalangan masyarakat. Masakan pokok bergoyang
jikalau bukan kerana anginnya.
Berimiginasi keseorangan di tempat
duduk belakang sambil melihat panorama luar membuatkan otak merasa penat lalu
menyebabkan dia hampir-hampir hendak terlena dijemput tidur untuk menikmati
mimpi-mimpi indah. Kedua orang tuanya senyap tidak berkata apa menguatkan lagi
perasaan mengantuk yang melanda. Siaran radio pula tidak putus-putus
menyanyikan lagu namun sedikit pun tidak membantu mengubati perasaan lalok. Ditambah
pula di waktu-waktu lewat malam begini, suara pengutara radio yang bertugas garau
serta mendatar.
Beberapa milimeter lagi sebelum
kelopak matanya menutup tirai ada sesuatu perkara berlaku. Inilah satu-satunya
kejadian aneh yang berlaku dan mungkin juga yang terakhir kepada mereka semenjak
beberapa bulan melalui lebuhraya ini. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang janggal
berlaku di lebuhraya pada waktu itu. Bunyi desas desus diluar kenderaan yang
didengarinya sebelum ini semakin berkurangan. Keadaan semakin lama menjadi
semakin sunyi. Kenderaan-kenderaan dari arah bertentangan mahupun dari arah
yang sama juga semakin lama semakin berkurangan. Lama kelamaan terasa
seolah-olah hanya kereta mereka sahaja melalui jalan tersebut. Dia tidak tahu
sama ada kedua orang tuanya menyedari akan perubahan ini namun sedikit pun dia
tidak mengendahkannya kerana panggilan nikmat tidur lebih menggoda.
“Yaaaa... itulah tadi... lagu yang
amat menyentuh perasaan dari Anuar Zan... lagu yang memenangi banyak anugerah
baru-baru ini... tahniah, tahniah, tahniah diuca zis... sekarang kita akan
memainkan lagu terbaru... dari seorang artis wani zis... ling popular ketika
ini... zis... lag zis... ajuk zis... Jangan Berahsia... zis... leh Siti Nor
zis... lijah... deng... zis...” radio kereta ayah rosak lagi. Tersekat sekat seperti
sukar untuk mendapat gelombang frekuensi siaran.
Ayah berang. Tangan kirinya
memulas-mulas punat cuba mencari kembali siaran frekuensi radio yang lebih baik.
“Ish... takkan rosak lagi. Baru je perbaik minggu lepas ni. Aduih... melayang
lagi duit aku bulan ni.”
Kelakuan ayah pada waktu itu
mengembalikan perhatian penumpang kereta kepadanya. Terbatal terus niat kelopak
mata penumpang belakang untuk menutup tirai lantas membiarkan matanya terbeliak
besar. Kepala terdongak-dongak cuba hendak melihat kekecohan diruang hadapan.
Spontan dia melihat jam elektronik yang berada di atas radio dimana ia
menunjukkan sudah tepat jam 12 malam.
“Zis... shehzis... ssshehhhzzizzzz...
zzzziizzz... zzziizzzz...” menandakan usaha ayah gagal.
“Rosak lagi lah ni. Hm... nak kena
pomen pulaklah jawabnya.” gumam ayah kegeraman sambil menekan butang tutup
dengan agak kuat.
“Sabar bang... mungkin kawasan ni
kurang siaran. Nanti depan sikit cuba buka balik. “ saran ibu dengan nada yang
tenang.
“Hm...” dengus ayah masih lagi tidak
berpuas hati dengan keadaan itu.
Betul juga kata ibu. Mungkin kawasan
pendalaman seperti ini sukar untuk mendapat siaran frekuensi radio yang bagus.
Dengan tenang penumpang belakang kembali bersandar dan menarik nafas panjang.
Tetapi perasaan tidak selesa masih lagi menyelubungi. Ia bukan disebabkan oleh
radio yang rosak atau perasaan marah ayah. Ada sesuatu yang tidak kena. Terasa
seperti sedang diperhatikan. Perlahan dia mengalihkan pandangan kembali kearah
tingkap kereta.
“WAAAARGHHHHH...” tiba-tiba bergema
suara jeritan yang kuat di dalam kereta.
Tamat Bab 1