Wednesday, 1 April 2015

Alam Legenda: Legasi Legenda, Bab 2: Ada Yang Memerhati

Di dunia yang serba moden ini semua perkara haruslah berlandaskan fakta dan sains barulah ia dianggap benar serta nyata. Tetapi dunia moden ini juga penuh dengan khabar-khabar angin serta cerita-cerita aneh yang tidak boleh dibuktikan dengan fakta serta sains. Ia masih lagi kurang difahami apatah lagi hendak lari dan tidak menghiraukannya kerana ia berada di sekeliling. Mungkin ilmu yang ada pada zaman ini gagal untuk mencari penjelasan atau mungkin manusia itu sendiri tidak melihat dengan lebih mendalam. Atau, mungkinkah ia akan menjadi misteri untuk selama lamanya, atau mungkin, tidak pada malam ini. Ada seseorang yang boleh dikatakan bertuah.

“Ya Tuhan budak ni kenapa terjerit-jerit dalam kereta... bingit telinga tahu tak?” Marah ibu sambil kepalanya memaling ke belakang.
Dengan separa terbaring serta wajah pucat lesu, jari telunjuknya menggeletar menuding ke arah tingkap. “Aa... aa... ada mata... mata… mata merah... kat lu... luar... ting... tingkap.”
“Mata apa. Mana ada apa-apa kat luar tu. Ish.. budak ni. Dah besar panjang masih lagi buat perangai. Dah... jangan mengarut tengah-tengah malam macam ni.” terserlah wajah garang ibu yang terkerut-kerut di dahi dan mata terbeliak besar.
Sekarang dia tidak tahu mana satu yang lebih menakutkan. Wajah garang ibunya ataupun mata makhluk yang dilihatnya tadi. Seperti tidak percaya akan kenyataan ibu itu dia kembali menoleh ke tingkap. Benar kata ibu, tiada apa-apa yang ada di tingkap kereta kecuali titisan-titisan air hujan dan kerlipan-kerlipan pancaran kilat.
Dia menoleh ke muka ibu dan dari muka ibu kembali ke tingkap lalu kembali semula ke muka ibu. Dia kehairanan. “Ta... tadi ada.“
“Mungkin lampu kecemasan kereta agaknya kot. Ataupun kamu lebih berkhayal.” kata ayah tenang malah lebih tenang dari ibunya.
Dia merasa sangat pelik kerana dia amat yakin apa yang dilihatnya sebentar tadi bukanlah cahaya lampu kecemasan kereta. Dia sangat kenal akan cahaya lampu tersebut meskipun pancarannya akan merebak ke setiap titisan air hujan di tingkap kereta. Apatah lagi untuk banyak berkhayal seperti saudara sedarah sedagingnya yang leboh ekstrem. Dia lebih gemar kepada perkara-perkara yang berdasarkan fakta. Namun, sepasang mata kemerah-merahan serta berurat-urat itu begitu nyata dan lengkap dengan ciri-ciri gambaran tiga dimensi makhluk hidup. Makhluk hidup yang mungkin tidak berasal dari bumi ini kerana dia yakin tiada makhluk di dunia ini mempunyai mata sebesar dan mengerikan seperti itu. Tambahan pula dia sedar kelajuan kenderaan yang dinaiki mereka sudah tentu amat pantas di sepanjang laluan lebuhraya. Mana mungkin ada binatang mahupun manusia yang mampu mengejar kenderaan mereka. Tetapi kemungkinan itu sesuatu yang subjektif.
‘Hmm... Mengikut fakta, haiwan darat yang paling laju adalah harimau Cheetah di mana ia mampu berlari sehingga 113 kilometer sejam dan haiwan terbang pula iaitu burung layang-layang adalah yang terpantas. Ia mampu memecut sehingga 171 kilomteter sejam. Tetapi... harimau Cheetah mana ada tinggal di kawasan hutan hujan. Daya pecutan pun hanya bertahan beberapa minit sahaja. Burung layang-layang pun tidak terbang diwaktu waktu begini. Mungkin burung yang putus cinta dan hendak mati sahaja terbang dalam gelap berhujan. Malahan kedua-dua binatang tersebut tidak mempunyai mata sebesar dan semerah apa yang aku lihat tadi. Hmmm... entah-entah ayah memandu kereta perlahan tak? Aku saja yang fikir ayah pandu laju. Mungkin makhluk yang aku nampak adalah anjing liar atau babi hutan yang mampu untuk mengejar dengan kelajuan kereta sekarang?’ fikirnya akan beberapa logik kemungkinan.    
Segera dia bangkit dari keadaan baring dan duduk semula. Dia dapati ibu sudah mengembalikan kedudukan kepalanya kepada keadaan asal. Lega. Dia tidak lagi perlu melihat wajah ibu yang juga tidak kurang menakutkan. Perlahan dia bangkit dan mendongak sedikit untuk melihat meter halaju kenderaan dari atas bahu ayah. Di belakang lingkaran pengemudi kenderaan terdapat pelbagai meter petunjuk yang disinari cahaya pelbagai warna. Jarum-jarumnya tidak henti-henti bergerak turun naik. Tetapi untuk mengesahkan andaiannya hanya satu meter sahaja menjadi tumpuan, iaitu meter kelajuan yang terdapat di sebelah kanan. Jarum petunjuk bewarna merah bergerak pada tanda aras 80 hingga 110 kilometer sejam sahaja di mana ia menandakan ayah tenang mematuhi had laju yang telah ditetapkan undang-undang.
‘Hmmm...  memang laju. Sudah semestinya anjing liar atau babi hutan tidak dapat mengejar. Kalau dapat pun, kedua-dua binatang itu tidak mempunyai ketinggian sehingga paras cermin kereta. Mana boleh nampak matanya. Kalau ada pun sudah tentu ia adalah anjing liar atau babi hutan yang melebihi saiz normal. Ah... karut, karut. Mungkin betul kata ibu dan ayah tadi? Apa jadahlah bintang-binatang tu nak kejar kereta pulakkan. Nak mati kena langgar ke atau kebukur sangat ke?’ fikirnya lagi, tekun untuk menyelesaikan permasaalahan tanpa disedari ada mata yang sedang memerhati dari tempat duduk hadapan bersebelahan ayah.
Beberapa saat kemudian dan juga berkat perasaan nalurinya yang kuat, dia dapat merasakan pemerhatian itu. Dengan perlahan dan penuh debaran dia pun menoleh kepala ke sebelah kiri. Fikiran terdetik akan kemungkinan mata yang sama muncul semula di luar tingkap sebelah kiri pula.
“WARGHH...” jeritnya terkejut buat kali kedua tetapi dengan tanggapan yang salah.
Kali ini bukan sepasang mata besar kemerahan mengejutkannya tetapi adalah satu wajah bengis yang memerhatikan setiap tingkah lakunya. Wajah ganas milik ibu. Seperti naga memuntahkan api, mulut ibu terbuka luas dan kata-kata pedas dimuntahkan dengan kadar kepantasan yang sangat luar biasa. Kata-kata yang boleh membuatkan telinga sesiapa pun di dunia ini panas kemerah-merahan.
“Buat apa lagi tu... budak ni... kang mak piat-piat telinga tu. Duduk diam-diam kat belakang tak boleh gamaknya. Duduk... kang ayah kamu break mengejut terhumban kamu ke depan baru padan muka. Nak macam tu?” Ibu mengugut dengan nada suara yang agak tinggi.
Wujud perasaan tidak puas hati dalam diri anak bongsu itu. Setelah menghumbankan badan ke belakang, kedua tangan disilangkan ke dada. Merajuk. “Yerlah... Yerlah... Hm... orang bukan buat apa pun. Tengok meter pun tak boleh?”
“Ehh... budak ni. Pandai menjawab eh... nanti sampai jeti siaplah, Ibu piat-piat telinga kamu.” Ibu menunjukkan tangan kanan seperti mencubit dan memulas sesuatu di udara.
Amaran ibu berbunyi amat keras dan menakutkan sekali menyebabkan dia senyap dan tidak lagi melawan kata-kata itu apatah lagi untuk melihat wajahnya. Dengan segera dia menoleh ke tingkap sebelah kanan. Tempat di mana dia terserempak dengan sepasang mata merah sebentar tadi. Jikalau dibandingkan mata merah itu dengan wajah ibu sekarang serta bayangan-bayangan imej pegun kesakitan hukuman dijeti nanti, dia lebih rela memilih untuk melihat mata merah itu.
Keadaan di dalam kereta kembali tenang dan seakan-akan hening. Hanya bunyi desiran tayar kereta ayah di dalam keadaan jalan hujan memenuhi suasana. Di luar pula pemandangan tidak banyak berubah. Ini membuatkan dia kembali dijemput lena. Mata semakin lama semakin berat. Dengan harapan dia akan dikejutkan apabila sampai sahaja dijeti. Fikiran tenang.
‘DUB DUB... PRAK! PRAK! CRASH!’ tiba-tiba satu bunyi datang dari atas bumbung kereta. Kemudian disusuli pula dengan bunyi retakan dan pecahan kaca secara serentak dan mendadak.
Ini membuatkan dia terkejut dari buaian lena buat kali keduanya. Perasaan marah dan tidak berpuas hati kembali menguasai diri. Bagai ditiup angin, perasaan negatif itu segera merudum apabila disedari ada sesuatu yang tidak kena dengan keadaan sekeliling. Badan terasa terhuyung-hayang, terumbang-ambing serta melambung-lambung. Inilah akibatnya jikalau tidak memakai tali pinggang kenderaan. Bersusah-payah dia cuba mengawal keseimbangan badan, namun usaha itu sia-sia kerana momentum kereta menyebabkan dia terbaring kembali di atas kerusi. Dalam keadaan begitu dia dapat melihat bumbung kereta yang melekuk teruk seperti seketul batu besar telah terjatuh di atasnya. Apa yang lebih menyeramkan ialah apabila dia dapat menyaksikan beberapa batang kuku yang besar serta tajam kehitaman telah menembusi dan mencengkam setiap bucu bumbung kereta.
Cermin hadapan kereta telah pecah berderai. Begitu jugalah nasib cermin tingkap yang terdapat di sebelah kanan ayah dan sebelah kiri ibu. Serpihan-serpihan kaca bertaburan di atas papan pemuka kereta serta di atas pemandu dan penumpang hadapan. Pemandangan di luar kereta pula tidak membantu sedikitpun untuk dia memahami situasi. Imej di luar bertukar-tukar antara pokok-pokok hutan dan dinding-dinding batu banjaran dengan kadar yang sangat laju. Dia merasakan seolah-olah telah berada di dalam sebuah mesin basuh yang sedang berputar ligat. Ini membuatkan dia hampir pitam dan termuntah.
Nampak gayanya, kenderaan yang dinaiki mereka telah mengalami kecelakaan. Kereta yang dipandu ayah tidak lagi berada di haluan yang betul dan telah berpusing pusing di atas lebuhraya. Akibat dari impak jatuhan sesuatu yang tidak dikenali diatas bumbung kereta, ia telah menganggu kelancaran momentum pecutan kenderaan lalu membuatkan ayah hilang kawalan.
Bunyi seretan keempat-empat tayar getah kenderaan begitu kuat kedengaran seolah-olah bunyi jeritan berfrekuensi tinggi daripada hantu puaka yang mengerikan dan memekakkan. Dia mula merasa panik, cemas dan ketakutan. Tidak disangka-sangka pada hari ini cerita-cerita seram yang baru sahaja difikirnya sebentar tadi telah menjadi kenyataan. Kini hanya masa sahaja yang akan menentukan hidup mati mereka sekeluarga.
“Ish... ishh... ishhh...“ suara ayah kedengaran berhempas pulas untuk mengawal kembali kenderaan.
Sebentar ke kiri dan sebentar ke kanan, tangan ayah kalut mengemudi stereng. Kedua kakinya pula rancak bertukar-tukar dan menekan-nekan tiga padel utama di bawah. Lagaknya pada ketika itu saling tidak tumpah seperti pemandu trek rentas desa profesional. Mungkin berkat dari pengalamannya mengejar penjenayah beratus-ratus kali ketika menjalankan tugas sebagai seorang anggota polis telah dimanfaatkannya sekarang. Ibu yang berada di sebelah ayah merasa sangat cemas dan telah mula memegang setiap inci kereta untuk mengekalkan posisinya.
“Ya tuhan! Abang. Abang... Hati-hati. Ish..” cemas suara ibu memberikan nasihat kepada ayah.
Nasib baik kedua-dua orang tuanya telah memakai siap tali pinggang keselamatan. Sedikit sebanyak ia dapat membantu mengekalkan posisi pemandu dan penumpang kereta, kecuali, dia. Telah menjadi ketentuan, malam itu dia sedikit cuai kerana selalunya tali pinggang keledar akan menjadi keutamaannya sebelum bertolak memulakan perjalanan. Patutlah dia seorang sahaja di dalam kereta itu yang terpelanting ke sana ke mari di tempat duduk belakang.
Setelah beberapa saat keadaan yang mencemaskan dan mendebarkan itu berlaku, dia merasakan kereta tidak lagi berpusing tetapi melelong sedikit ke sana dan ke sini. Bunyi seretan tayar juga telah menyusut dan kedengaran hanya sekejap-sekejap diikuti dengan kelajuan kereta yang semakin berkurangan. Lama kelamaan kereta kembali berada pada haluannya yang lurus menandakan bahawa ayah telah berjaya mendapat kembali kawalan terhadap kenderaannya. Kuku besar dan tajam yang mencengkam bumbung kereta sudah tidak kelihatan, meninggalkan keempat-empat penjuru berlubang. Hujan juga telah mulai renyai seperti meraikan kejayaan mereka tiga beranak melepasi malapetaka.
“FUH!... “ spontan  penumpang belakang menghelakan nafas kelegaan dengan agak kuat.
Situasi cemas itu terasa seakan-akan berlaku begitu lama walaupun ia hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Tetapi ayah sedikitpun tidak memberhentikan kenderaan mahupun mengalihkan perhatian terhadap pemanduan. Otot-otot ditangannya kelihatan keras menonjol dan sedikit menggeletar akibat tekanan pemanduan yang teramat sangat. Peluh dingin juga penuh membasahi muka dan lehernya. Ibu pula seperti trauma kerana dia tidak lepas-lepas dari memegang erat tali pinggang keledar. Tercengang, ibu memandang wajah ayah dengan penuh kejutan.
Ayah berpaling. Bibirnya kelihatan terketar-ketar sedikit apabila bertanya akan keadaan penumpang belakang. “Ka... kamu, tidak apa-apa?”
Maka barulah dia memahami kenapa ibu tercengang sewaktu memandang wajah ayah. Bendalir yang dilihatnya mengalir pada muka ayah bukanlah semata-mata peluh tetapi ia bercampur juga dengan darah. Darah yang datangnya dari luka-luka kecil akibat hirisan serpihan-serpihan kaca cermin. Antara luka-luka itu, mata sebelah kiri kelihatan mengalami kecederaan paling teruk. Ia terkatup rapat sambil banyak darah mengalir keluar dari dalam. Seolah-olah sepirhan kaca telah mencederakan bebola matanya. Kedua beranak terdiam. Masing-masing risau akan keadaan ayah. Entah apa yang terjadi pada mata sebelah kirinya.
“O.. ok ayah.” jawap penumpang belakang terketar-ketar.
Ayah tersenyum bangga. “Ba... bagus. a... anak jantan mesti kuat.”
Kedua-dua penumpang merasa begitu terharu dengan sikap ayah yang lebih merisaukan keadaan anaknya berbanding dirinya sendiri. Ayah tentu sedang menahan kepedihan dan kesakitan yang amat sangat. Lebih-lebih lagi angin dan air hujan yang masuk mengikut ruang tanpa cermin menambah bisanya. Tiada siapa yang berani pada waktu itu untuk menasihatkan ayah supaya berhenti dari memandu. Namun dia merasa hairan dengan pesanan ayah kerana ia berbunyi seperti amanat terakhir. Tapi itu tidak mungkin. Selama mengenali dan hidup bersama ayah, lelaki itu adalah insan paling kuat yang pernah dikenalinya. Ini dapat dibuktikan sekarang, apabila dalam keadaan cedera teruk, dia masih lagi berdaya untuk memandu kereta.
Ayah mengubah pandangan dan memberi perhatian pula kepada pasangan sehidup semati. “Mah... Mah ok?”
“O.. ok abang.” jawab ibu spontan seperti orang yang telah terjaga dari mimpi. “A... abang bagaimana? Teruk nampaknya. ” ibu lantas mengambil kain di dalam beg tangannya untuk mengelap kotoran-kotoran darah.
Kepala ayah terteleng-teleng mengelak kepedihan dan wajah terkerut-kerut menahan kesakitan dari usapan kain ibu. “Ish... aduih... pelan-pelan Mah. Abang tak ada apa-apa rasanya. Masih lagi boleh bertahan.”  
“Dalam keadaan macam ni pun abang masih lagi nak memandu ke? Berhentilah ke tepi jalan sekejap. Mana tau kalau kalau ada orang ingin membantu kita.” ibu menegah penuh kerisauan.
Ayah berdegil. Kelajuan kereta masih pada tahap minima aedikit pun tidak menunjukkan penurun, namun masih boleh tenang membalas cadangan ibu. “Tak.. tak apa. Kita te... teruskan perjalanan.”
“Abang ni kenapa? Ini bukan masalah sampai awal atau lambat abang... Ini masalah keadaan kita sekarang... dalam kereta ni hanya abang sorang sahaja yang boleh memandu... dalam kecederaan abang macam ni, mungkin lebih teruk kemalangan yang akan menimpa kita nanti. Cermin kereta pun dah pecah. Bahaya memandu macam ni abang.” ibu cuba meyakinkan ayah akan situasi yang mereka hadapi.
Ayah diam seribu bahasa. Wajahnya kembali tidak keruan. Ibu tidak menghiraukan dan mencuba lagi sambil menarik-narik baju ayah yang berlumuran darah. “Abang! Abang! Abang dengar tak apa yang Mah cakapkan ni?”
“Di... Diam! ini bukan masalah cepat... lambat... ini bukan masalah cermin kereta.. lebih bahaya jikalau kita berhenti.” balas ayah dengan suara yang agak lantang dan gelisah.
“Apa maksud abang?” tanya ibu dengan wajah penuh tanda tanya

“Me.. Mereka. Mereka dah datang Mah! Mereka dah datang!” tengking ayah secara tiba-tiba dengan memaparkan muka yang sangat cemas.
                                                                                                                                              Tamat Bab 2

No comments:

Post a Comment