Wednesday, 1 April 2015

Alam Legenda: Legasi Legenda, Bab 3: Bermulanya Sebuah Tragedi

Orang kata, malang tidak berbau. Ajal maut siapa yang tahu. Ia berlaku tanpa diduga dan tiada seorang pun yang dapat meramal dengan tepat atau mengetahui akan kejadiannya. Hidup di dunia ini penuh dengan perkara-perkara sebegitu. Sama ada kita menyukainya ataupun tidak ia tetap akan terjadi. Lumrah kehidupan. Kita hanya mampu untuk membuat pilihan dan bukan penentunya. Takdir telah menentukan pada malam ini dia bersama keluarganya akan mengharungi satu tragedi yang amat dahsyat. Tragedi yang tidak dapat dilupakannya sehingga mati. Tidak pernah dalam seumur hidupnya akan terfikir berlaku tragedi seperti ini. Ia hanya pernah didengar mahupun jarang dilihat. Pada malam ini dia sendiri akan merasai kedahsyatannya.
“VROOOMMMM...” kedengaran enjin kenderaan mengaum dengan kuat sekali.
Ayah cuba memecut selepas dia mengucapkan kata-kata yang tak dapat difahami. Akibat momentum pecutan penumpang belakang terhumban kebelakang.
‘...50 km/j... 60 km/j... 70 km/j...’ jarum penunjuk kelajuan kenderaan bergerak meningkat naik.
Pada waktu yang sama, Ibu seperti memahami apa yang diucapkan ayah dengan segera menukar raut wajah cemas serta tidak lagi bertanya sebarang soalan. Seolah-olah segala persoalan di dalam benak hatinya telah terjawab. Bagi ibu, ini adalah kali kedua dia melihat wajah suaminya begitu cemas dan kali terakhir adalah apabila mereka berdua didatangi oleh seorang nenek tua pada tahun lepas di rumah. Nenek tua misteri yang langsung tidak dikenali oleh anak bongsu ini.
Imbas Kembali
Hari itu merupakan hari minggu di mana seluruh ahli keluarga berada di rumah, kecuali abangnya. Bagi budak muda sepertinya, apalagi yang boleh dilakukan pada tengahari panas terik melainkan menonton televisyen. Sedang asyik menonton, tiba-tiba dia terdengar suara serak-serak basah memberi salam di luar rumah. Perasaan tidak puas hati membuak-buak kerana tumpuan menonton rancangan kegemarannya terganggu.
“Ishhhh... siapa pulaklah yang datang rumah petang-petang macam ni. Nak tengok tv pun kacau je.” terkeluar perkataan tidak puas hati itu dari mulutnya perlahan.
Ibu yang berada di dapur mendengar suara itu berulang kali memberi salam, tetapi tidak bersambut. Berang dia memekik. “Orang bagi salam buat tak tau je. Pergi tengok siapa yang datang tu. Hei... budak ni apa nak jadi?” 
“Argh! Yelah, yelah...” jawab budak lelaki itu sambil menggaru-garu kepalanya.
Perlahan dia bangkit dari duduk dan berjalan menuju ke tingkap cermin berlapis yang terdapat di sebelah pintu. Selepas membuka sedikit tingkap, kedua biji matanya melilau mencari siapakah gerangannya yang memberi salam tadi. Di luar, berdiri bongkok seorang nenek tua yang berseri-seri wajahnya dengan senyuman walaupun faktor usia terselah pada kedut-kedutan pada wajahnya. Pakaian juga ringkas, berbaju kurung serta berkain dan berseledangkan kain batik.
Tetapi apa yang lebih mengkagumkan adalah tongkat putih yang dipegang erat oleh tangan kiri nenek tua itu. Ia sangat indah buatannya dengan ukiran-ukiran halus menghiasi beberapa bahagian tongkat. Sesiapa yang melihat pasti akan terpesona. Kedua biji mata terpaku seketika melihat keindahan tongkat itu. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia melihat tongkat yang sebegitu hebat. Renungannya terhenti apabila nenek itu menegurnya dengan senyuman manis.
“Err... cu.. ibu dengan ayah ada di rumah?” Tanya nenek tua itu dengan lembut.
Terkejut, budak lelaki itu berhenti dari renungannya. “Ehh... Nenek... ahh... ibu ngan ayah ada. Tapi kami tak nak beli kerepok Nek. Dalam rumah kami banyak keropok...” katanya dengan nada selamba kerana disangkakan nenek tua itu peniaga dari rumah ke rumah.
“Err... bukan... nenek ni…” terdiam apabila tiba-tiba disampuk.
“Hmm... Nenek ni... ayah kami ada kilang keropok tau. Jadi kami ada banyak keropok. Nenek cakap jelah apa jenis keropok pun, semua kami ada. Ok... kami tak nak beli keropok Nenek. Dah, dah, jangan buat muka kesian kat sini. Kami tak nak beli.” Satu penjelasan yang tidak masuk akal.
“Err... sabar cu... Nenek belum habis berbicara lagi... “ nenek tua itu mengeleng-gelengkan kepala.
“Argh! Nenek ni degil betul. Tau tak ayah saya polis. Nenek nak masuk penjara ke? Keras kepala betul. Karang saya report kat ayah saya kang. Ha... Baik Nenek pergi dari sini cepat sebelum saya report.” ugutnya dengan nada yang agak keras serta jarinya menuding-nuding ke sana-sini.
Mengetahui bahawa pendirian budak lelaki itu tidak akan berganjak, nenek tua itu cuba mengakalinya. “Err... tadi cucu cakap ayah cu seorang ahli perniagaan, tapi sekarang cu cakap ayah cu seorang anggota polis. Err... yang mana satu betul ni cu?”
“Eh... aaa... arghhh... Nenek ni banyak tanya lah...” tersepit, budak lelaki itu menjawab dengan kemarahan sambil menarik-narik rambutnya sendiri.
Ibu yang sedang sibuk melakukan kerja di dapur tiba-tiba menyedari akan ada sesuatu yang tidak kena. Tiada sebarang maklum balas diterima dari anak bongsunya selepas beberapa minit arahan diberikan berlalu. Terlalu lama masa diambil. Dengan itu, ibu segera berhenti dari kerja sehari-harinya lalu bergerak ke ruang tamu. Di situ dia dapat melihat anak bongsunya sedang menarik-narik rambut dengan kedua belah tangan serta menjelir-jelirkan lidah. Tidak tumpah seperti orang gila lagaknya.
‘Budak ni... apa jadah dia buat dekat tepi tingkap tu lama-lama sampai tarik-tarik rambut, jelir-jelir lidah macam tu... tu lah pasal banyak sangat tengok benda bukan-bukan kat tv tu jadi macam tu.’ bisik hati kecil ibu.
Dengan mencekak pinggang, ibu berjalan terus menuju ke arah tingkap. Anak bongsunya yang berkelakuan aneh itu sedikit pun tidak merasai kehadiran ibu di sebelah. Tanpa mengendahkan kelakuan anaknya itu, dia segera melihat keluar tingkap. Alangkah terkejutnya apabila melihat kehadiran gerangan nenek tua itu berdiri di luar rumah. Wajah terkejut ibu segera bertukar ceria yang teramat sangat. Seperti seseorang yang telah terjumpa dengan saudara rapat. Saudara rapat yang begitu lama terpisah.
“Eh Nenek... bila sampai ni? Jemput masuk Nek.” Ibu menjemput dengan nada girang sambil membuka daun pintu.
Walau bagaimanapun nada kegembiraan ibu tidak tahan lama. Kebolehan ibu menukar perwatakan memang menakjubkan. Dengan pantas ibu segera bertukar tona suara kepada nada garang yang keras apabila bercakap dengan anak bongsunya.
“Ishhh... budak ni... yang macam orang gila ni kenapa?” ibu spontan meluku kepala anak bongsunya.
“Aduihh... apa ibu ni? Sakitlah...” budak lelaki itu mengosok-gosok kepala cuba melegakan kesakitan.
Dengan kedua tangan mencekak pinggang dan mata yang berkilauan ganas, ibu merenung tajam ke arah anak bongsunya. Dia masih menanti jawapan ke atas persoalan yang diutarakan sebentar tadi.
“Hahh... ohh... tadi tu saja berlakon macam orang gila supaya nenek tua tu pergi. Orang dah cakap tak nak beli keropok dia nak jugak jual. Degil betul. Ibu dah halau ke?” Budak lelaki itu selamba bertanya seolah-olah nenek tua itu tidak lagi berada di situ.
“Itu bukan orang jual kerepok. Itu Nenek Keba...” percakapan ibu berhenti secara mendadak. Hampir-hampir terlepas cakap.
Kehairanan dan penuh perasaan ingin tahu yang kuat, budak lelaki itu bertanya lagi. “Nenek keba apa ibu?”
“Err... bukan, silap. Nenek belah ayah kamu. Hah... kenapa tak dijemput Nenek ni masuk tadi?” ibu segera cuba untuk menukar topik perbualan dengan jari telunjuk dihala-halakan kearah nenek tua itu.
“Lah... tadi ibu cakap suruh tengok je.” jawapnya ringkas dan bersahaja.
“Eh... budak ni pandai menjawab pulak tu. Nak kena lepuk lagi kepala ni.” ibu berkata dengan garang sambil menghayun tangan kanan untuk meluku kepala anaknya sekali lagi. Namum pergerakan itu terhenti betul-betul di hujung rambut apabila terdengar nenek tua itu menegur.
“Mah... tidak mahu jemput Nenek duduk?” tanya nenek tua itu dengan senyuman.
“Eh... eheh... mari Nek duduk.” jawab ibu lalu segera membongkok dan memegang tangan nenek tua itu untuk diiring masuk ke ruang tamu. Sempat dia menoleh dan memberikan pandangan tajam kepada anak bongusnya. Dengan nada perlahan seperti orang yang menahan perasaan marah ibu berkata. “Tercegat apa lagi dekat situ hah... pergi panggil ayah kamu kat dalam bilik tu cepat. Ish...”.
************************
“80 km/j... 90 km/j... 100 km/j...” jarum penunjuk kelajuan kenderaan meningkat naik lagi.
************************
Tanpa sebarang persoalan anak bongsunya segera meninggalkan tempat itu dan bergerak menuju ke bilik tidur utama. Kedua beranak itu tahu bahawa pada waktu-waktu begini, ayah akan meluangkan masa berehat dan tidur di biliknya. Di dalam perjalanan dia tidak berhenti-henti memikirkan gerangan nenek tua itu.
‘Biar betul ibu ni... bukan nenek belah ayah dah meninggal ke?’ fikirnya sambil menggaru-garu kepala.
Setibanya di bilik tidur dia dapati ayah sedang terbaring dan wajahnya menghala ke atas dengan mulut ternganga luas melayan keasyikan berdengkur. Perlahan dia melangkah dan menghampiri ayah. Sedikitpun ayah tidak sedar akan kehadirannya di sisi. Dia tidak sampai hati hendak menggerakkan ayah dari tidur dengan cara mengejut seperti yang biasa dilakukan terhadap abangnya dahulu. Dia sedar, ayah tentu penat dan keletihan kerana lewat malam semalam barulah ayah pulang ke rumah. Tetapi terbayangkan wajah ganas ibu dia segera menghalakan tangannya untuk membangkitkan ayah. Akan begitu ada sesuatu yang membuatkan dia menarik balik tangannya dengan mengejut serta mengundur sedikit kebelakang.
“Ada apa?” terkeluar perkataan itu dari mulut ayah secara tiba-tiba. Mata masih lagi tertutup rapat.
Budak lelaki itu mengurut-ngurut dada untuk meredakan lonjakkan degupan jantung yang kuat. “Ish... ayah ni. Selalu macam tu. Terkejut orang dibuatnya”
“Hm... macam itu pun terkejut.” Ayah memerli.
“Iyalah... ingatkan tak perasan.” Anak bongsu keluarga itu mencebik.
“Hm... Ya... ada apa?” tanya ayah lagi sambil memusing badan membelakangi anaknya.
“Ibu panggil. Ada orang datang umah. Ibu cakap nenek belah ayah datang.” Dia mengulangi apa yang dipesan oleh ibu.
Ayah segera memusingkan badan ke arah anak bongsunya. “Hah... nenek belah ayahkan dah meninggal.”                        
“Entah... ibu yang cakap macam tu.” kedua bahu diangkat tinggi tanda ketidakpastian.
Ayah bangkit dari perbaringan lalu mengosok-gosok kepala dan mengikat kain pelikat bercorak petak kebiruan yang telah londeh. “Biar betul ibu kamu ni. Buang tebiat ke apa gamaknya...”.
Setelah memakai baju singlet ayah keluar dari bilik meninggalkan anaknya terpinga-pinga. Dia tidak tahu apa yang perlu lagi dilakukan seterusnya. Dalam kepala otaknya asyik memikirkan tentang rancangan televisyen kegemarannya tadi.
‘Cis... mesti dah habis. Semuanya nenek tua tu punya pasal. Geramnya aku... Dahlah duduk kat depan. Macam mana aku nak tengok tv ni?’ Perasaan marah dan tidak puas hati kembali membuak-buak.
Seketika kemudian terdengar suara ayah menyambut kedatangan nenek tua di ruang tamu. “Ehh... apa khabar Nek. Lama dah sampai?”
“Sihat hendaknya. Tidak begitu lama, tidak juga baru.” jawab nenek tua itu bermadah.
Dia merasa sangat hairan dari nada yang dikeluarkan oleh ayah menyambut tetamu tua itu sebentar tadi. Tiada langsung menunjukkan kehairanan. Ia berbunyi seolah-olah seperti seseorang yang bertemu dengan sahabat lama. Kenapa pula dia yang sentiasa berada dengan ibu dan ayah tidak pernah ingat akan wajah nenek tua itu sebelum ini. Tidak mungkin juga dia terlupa. Bakat dan kebolehan yang dimilikinya amat jarang sekali membenarkan dia berbuat begitu. Didorong dengan sifat ingin tahu yang kuat dia spontan keluar dari bilik itu dan mengekori jejak ayahnya.
Ayah dengan tenang melabuhkan punggung di sofa menghadap nenek tua itu. “Belum pernah Nenek datang ke rumah kami di siang hari begini. Tentu ada hal penting.”
“Betul tu... ada sesuatu yang penting ke Nek?” sampuk ibu yang baru sahaja keluar dari dapur membawa sedulang minum petang.
Tetamu tua itu tidak menjawab segera persoalan pasangan suami isteri di hapadannya. Dengan senyuman dia melihat dan menanti sehingga ibu selesai menuang dan menyediakan minum petang. Memang kebiasaan ibu akan menghidangkan apa sahaja yang ada di dapur jikalau tetamu datang bertandang. Biarlah ia sekadar biskut kering.
Ibu perlahan menyerahkan secawan air teh panas kepada tetamu tua itu. “Minum dulu Nek.”
“Terima kasih Mah.” Nenek tua itu membaca sesuatu di mulutnya sebelum air panas itu dihirup dengan kedua mata ditutup rapat.
Ibu perlahan duduk di sebelah ayah lalu kedua suami isteri itu merenung gelagat nenek tua. Masing-masing menanti perkhabaran tetamu tua itu.
“Begitu enak air yang kamu buat Mah. Selama ini memang tidak ada orang yang pandai membuat air kopi sehebat kamu. Memang nenek dating sini pasti terliur mengenangkan air kopi ini. Untung laki kamu dapat minum kopi yang enak seperti ini.” Ujar nenek tua itu sambil melirik pandangan kepada ayah.
Tetapi wajah kedua pasangan itu tidak menunjukkan sebarang reaksi. Meraka tidak sabar untuk menendengar perkhabaran.
“Mah... Awal... perkhabaran tu memang ada. Hai... darah orang muda memang tidak faham akan erti kesabaran.” tegur nenek tua itu dengan tenang sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Ibu dan ayah tidak membalas sedikit pun akan teguran itu sehingga keadaan menjadi senyap. Begitu hormat kedua pasangan kepada tetamu tua ini. Seolah-olah tetamu tua ini adalah seseorang yang mempunyai pangkat besar. Mereka berdua juga faham apa yang dimaksudkan oleh tetamu tua itu adalah supaya mereka bersabar. Tidak berapa lama kemudian nenek tua menyambung kembali percakapannya.
“Begini sebenarnya... ka...” nenek tua itu berhenti bertutur secara tiba-tiba.
Kedua-dua biji matanya sedang mengekori sekujur tubuh yang kurus kering serta berkepala agak besar berjalan lalu di hadapan mereka bertiga. Seolah-olah meniru gaya orang, perbuatan mengekor mata ini juga di ikuti oleh ayah dan ibu dengan mulut sedikit ternganga. Tanpa sedikit perasaan bersalah, budak lelaki itu dengan bersahaja lalu dan duduk selang satu kerusi bersebelahan dengan ibu.
Menyedari akan dirinya menjadi tumpuan, dia pun memandang ketiga-tiga mereka dengan wajah kehairanan lalu berkata. “Apa?”
Ibu bingkas bangun lalu menyinsing kedua belah lengan bajunya sehingga ke paras siku. Dengan sekelip mata dua jari mencubit sudah berada di cuping telinga anak bongsunya.  “Ish... budak ni... buat-buat tanya pulak. Orang tua tengah bersembang sibuk aje dia nak dengar. Sudah pergi masuk bilik tu cepat. Tak baik menyampuk bila orang tua tengah bersembang.”
“Adoi, adoi, adoiai… yelah, yelah…” terteleng teleng kepala budak itu dengan pantas bangun berlalu pergi.
Setelah mendengar pintu bilik ditutup, ibu kembali duduk dan kedua pasangan dengan segera membawa renungan mata kembali kepada nenek tua itu. Begitu juga kelakuan nenek tua itu terhadap pasangan yang berada di depannya. Wajah tenang yang ditunjukkan memang tiada tandingan berbanding pasangan suami isteri itu. Ketenangan ini juga membuatkan dia lambat memulakan bicara sehingga pasangan itu menjadi resah dan gelisah. Suasana begitu hening dan tegang sehinggalah mulut nenek tua itu terbuka untuk berkata-kata.
“Begini sebenarnya... ka... haih...” terhenti lagi percakapan nenek tua itu membuatkan pasangan yang tekun menanti khabar merasa berang.
“Laa... apa lagi Nek?” tanya Ayah sambil tangan kanan menepuk mukanya lalu dileretkan kebawah.
“Ya Nek... apa lagi yang tak kena ni?” tanya ibu pula kebingungan.
“Ada orang sedang mencuri... mencuri dengar perbualan kita” jelas nenek tua itu dengan perlahan-lahan menggelengkan kepala.
“Siapa Nek?” tanya Ibu kehairanan kerana yang ada di ruang tamu itu hanyalah mereka bertiga.
Setelah menghela nafas panjang, tetamu tua itu membalas persoalan dengan senyuman. “Buah hati, jantung, intan, payung, kamu berdualah. Siapa lagi?”
Dengan wajah kemerah-merahan menahan geram, ibu memekik dengan sangat kuat sehingga ayah terpaksa menutup kedua belah telinganya. “MASUK... BILIK!”
“Yerlah, yerlah... THUMB!” anak bongsunya melepaskan geram ke daun pintu.
Tetamu tua itu tergelak dengan tawa yang sangat halus. “Bijak sungguh anak bongsu kamu tu... pandai dia buat-buat masuk bilik tapi sebenarnya dia hanya menutup pintu bilik sahaja... hehehe”.
“Hmm... itu baru sikit Nek. Banyak lagi akal dia Nek. Kami berdua ni pun selalu jugak diakalnya” jawab ibu spontan dengan menghembuskan nafas kuat.
Ayah dengan wajah penuh kesungguhan cuba membawa mereka kembali ke perkara yang lebih penting. “Ya Nek... boleh Nenek sampaikan perkhabaran penting tadi?”
Keadaan menjadi tegang semula setelah ayah mengutarakan pertanyaan. Kini tiada lagi yang dapat mengganggu perbualan mereka. Pasangan suami isteri itu masing-masing mematikan renungan ke arah kedua biji mata tetamu tua itu.
“7 Dosa Yang Membunuh”.
Cemas, tercengang, terkejut, gusar, takut dan bermacam lagi riak riak wajah yang ditunjukkan oleh kedua-dua suami isteri itu. Lebih-lebih lagi wajah ayah yang berkerut-kerut diikuti liritan peluh jantan di dahi kepalanya. Nafas juga tidak teratur dan dada kelihatan turun naik dengan agak pantas.
“Ti.. tidak mung... mungkin” ayah tergagap-gagap seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
************************
“110 km/j... 120 km/j... 130 km/j...” jarum penunjuk kelajuan kenderaan bergerak ke satu tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

“SCREEETTT... DUMMMHHHBBBB...”
Tamat Bab 3

No comments:

Post a Comment