Wednesday, 1 April 2015

Alam Legenda: Legasi Legenda, Bab 4: Berita Buruk

Gentar. Apa lagi yang boleh diucapkan oleh kedua pasanagan ini. Hanya dengan beberapa ungkapan dari mulut nenek tua itu sudah cukup membuatkan dunia menjadi gelap menelan segala harapan dan kegembiraan didalamnya. Tujuh makhluk dosa yang membunuh merupakan makhluk jahat dari lubuk setiap kejahatan. Satu nama yang begitu sinonim dengan malapetaka. Ia adalah antara kuasa gelap yang begitu hebat sehingga tiada siapa mampu untuk mengekangnya. Ia telah dikunci didalam bentuk cincin mutiara hitam dan disimpan sebagai perhiasan jari oleh penguncinya juga merupakan orang yang berhak memakai kuasanya. Dia adalah Agraham, Maharaja Alam Kegelapan.
“Sabar kamu berdua… Nenek belum habis berbicara lagi.” tenang Nenenk tua itu sambil menghirup kopi.
Aroma wangi kopi merebak keseluruh ruang tamu menjemput sesiapa sahaja untuk menikmatinya. Tetapi tidak kepada kedua pasangan ini. Mereka gelisah.
“A… apa yang terjadi Nek?” tanya ibu perlahan.
“Hm…” berat hembusan nafas nenek tua itu umpama beratnya isi didada. Perlahan dia meletakkan cawan kopi lalu menyambung percakapan. “Seperti yang telah Nenek jangkakan… Permaisuri kamu telah memiliki ketujuh-tujuh cincin mutiara hitam.”
“Apa?” Ayah bingkas bangun dengan mata yang terbeliak besar.
“Abang…” ibu menarik tangan suaminya spontan. Keras seperti batu. Tanda-tanda apabila suaminya mulai gusar. Ibu juga juga tidak tenteram menerima berita itu tetapi dia masih lagi boleh bertenang.
Nenek tua itu bersandar lalu merenung tajam kepada ayah. Dia tidak mampu lagi untuk menyeru mereka berdua supaya bersabar. Begitu hebat renungan itu sehingga ia dapat menenagkan perasaan ayah. Selepas menarik nafas panjang ayah kembali duduk mengikut daya tarikan tangan isterinya.
“Macam mana ini boleh berlaku Nek?” tanya ayah dengan wajah kerisauan.
“Permaisuri kamu bukan calang-calang orangnya. Dia mampu memperdaya sesiapa sahaja dengan menggunakan kata-kata. Itulah kelebihan yang dimilikinya. Dia bukan sahaja telah mempunyai kuasa itu malah telah juga berjaya menyeru sebahagaian dari tujuh mutiara itu.” Jelas nenek tua.
Semakin lama semakin berat berita yang disampaikan untuk diterima oleh kedua pasangan itu. Mereka tidak menyangka bahawa apa yang telah diramalkan oleh nenek tua itu selama ini menjadi kenyataan. Ayah dan ibu berdiam diri. Sabar menanti perkhabaran seterusnya.
“Kedua-dua ketua keturunan penjaga gugusan kepulauan telah meninggal dunia.” Sayu nenek tua itu mengutarakan perkhabaran itu. “Begitu juga dengan ayahanda meraka.”
‘Krak!’ tiba-tiba mereka dikejutkan dengan satu bunyi retakkan kayu.
Ibu dan nenek tua melihat ketangan ayah yang memegang erat tempat tangan kerusi yang didudukinya. Kayu keras itu sudah retak. Dada ayah kelihatan turun naik serta pernafasan tidak lagi keruan.
“Sabar Awal. Perkara ini memang telah dijangka sejak dari dulu lagi. Tetapi nenek tidak sangka bahawa ayahanda mereka juga akan hilang nyawanya dalam kejadian ini. Itulah kekurangan dari ramalan nenek. Kita ini hanya mampu merancang. Makhluk dari lubuk setiap kejahatan telah berjaya membangkitkan sifat amarah yang ada didalam diri kedua-dua ketua penjaga pulau itu. Ayahanda mereka berdua terpaksa keluar dari persembunyian dan masuk campur dalam perbalahan kerana pertembungan mereka berdua hampir-hampir melenyapkan kewujudan gugusan kepulauan.
“Saya tidak percaya. Masakan kedua keturunan penjaga gugusan kepulauan itu begitu hebat. Bagaimana mereka boleh mati begitu sahaja?” tegas ayah.
“Kamu masih ingat lagi akan Perjanjian Berdarah Antara Dua Keluarga?” tanya nenek tua itu.
“Saya masih ingat lagi Nek. Ia adalah satu perjanjian damai setelah peperangan berdarah antara kedua dua keturunan penjaga gugusan pulau berlaku pada waktu dahulu. Peperangan dahsyat yang hampir memusnahkan gugusan kepulaun sehingga menyebabkan beratus-ratus ribu penduduk mati. Juga dikenali dengan nama Peperangan Berdarah Dua Keturunan.” Jawap ayah dengan satu renungan jauh.
“Adakah kamu tahu bahawa peperangan itu berlaku lagi disebabkan perancangan Permaisuri dengan bantuan  kuasa mutiara hitam itu dan adakah kamu tahu bahwa perjanjian itu tidak sah?”
Ayah dan ibu memandang nenek tua itu dengan wajah penuh tanda tanya.
“Hm… begitu banyak yang telah berlaku sejak kamu berdua diutuskan kesini. Musibah demi musibah akan berlaku bila mana sahaja makhluk dari setiap lubuk kejahatan itu hadir. Kuasa yang ada sepatutnya digunakan untuk menjaga keamanan pulau telah bertukar menjadi ancaman.”
“Apa maksud Nenek mengatakan perjanjian itu tidak sah?” tanya ibu dengan perasaan penuh ingin tahu.
“Kerana ketiadaan saksi. Hukuman melanggari perjanjian itu dibuat sebegitu dahsyat supaya kedua-dua beradik itu gentar akannya. Ayahanda kedua keturunan penjaga pulau masih sayang akan mereka dan dia tahu bahawa pasti akan berlaku lagi pencabulan hak anatara mereka. Sebab itu dia sengaja merahsiakan keperluan saksi didalam perjanjian itu. Masakan mereka itu masih lagi boleh hidup sekian lama.”
“Jadi… demi menamatkan perbalahan itu, Ayahanda mereka telah memerterai perjanjian itu sebagai saksi?” ujar ayah dengan wajah penuh tanda tanya.
“Pada saat-saat akhir… dan hukuman dari perlanggaran perjanjian itulah yang membunuh kedua-dua keturunan penjaga itu serta ayahandanya dan bukan makhluk dari cincin mutira hitam.” Jelas nenek.
Kedua pasangan itu tekun mendengar perkhabaran nenek tua itu dan berbagai gambaran dahsyat bermain diminda masing-masing.
“Sudah tentu keadaan digugusan kepulauan menjadi sangat kucar kacir sekarang.” gumam ibu tunduk.
“Betul tu Mah. Kuku dan taring permaisuri sekarang semakin jelas. Saki baki keturunan penjaga pulau diburu dan dibunuh. Tiada satu pun yang akan dilepaskan mahupun kanak-kanak. Kuasa kejahatan semakin bermaharaja lela. Penduduk-penduduk biasa sudah tidak terjaga dan terkandas dalam keadaan huru hara. Nyawa sudah tidak bernilai lagi. Nenek begitu sedih dan simpati akan nasib yang menimpa mereka.” Sayu nenek tua itu berkata-kata.
“Apakah yang dapat kita pelajari dari peristiwa ini?” sambung nenek tua itu bertanya sambil menghirup kembali air kopi dihapannya.
Tergamam. Tidak disangka-sangkakan pertanyaan sebegitu akan keluar dari mulut nenek tua itu. Kedua pasangan mempelai itu melihat antara satu sama lain.
“Adakah kamu berdua dengar akan pertanyaan Nenek tadi?” masih lagi menghirup air kopi panas sedikit demi sedikit.
“Ya… ya Nek. Tetapi kami kurang jelas.” Ujar ibu tersipu malu.
“Hm… setiap kali begitulah jawapan kamu berdua.” Kedua biji mata nenek tua membuat separuh bulatan keatas. “Itulah kata orang dahulu mana tumpahnya kuah kalau bukan di periuk. Sama sahaja perangai kamu anak beranak. Pandai mengakal, pandai menjawab, pandai memutar belit… hai budak-budak muda zaman sekarang.”
“Maaf ya Nek. Memang tak salah gelaran orang terhadap Nenek.” Jelas ibu cuba menukar topik perbualan.
“Yerlah Mah. Jangan ingat Nenek tak tahu niat disebalik percakapan kamu. Dengar sini baik-baik, pengorbanan ketiga-tiga orang penting itu bukanlah tidak bermakna dan tiada satu pun pengorbanan itu tidak bermakna. Setiap satu yang terjadi itu banyak maknanya jikalau hati terbuka untuk menerima.” Nenek tua meletakkan cawan kopi yang hampir habis. Kelihatan serbuk-sebuk kopi hitam berenang-renang didalamnya.
Keadaan menjadi sunyi. Nenek tua itu tidak menyambung percakapan seperti yang disangkakan ioleh kedua pasangan. Tergantung.
“Jadi…” Ayah memohon sambungan penyampaian.
“Jadi?” Nenek tua kebingungan.
“Yerlah Nek. Apa pengajaran yang Nenek cuba sampaikan.” Ayah cuba membawa perbincangan kembali.
“Oh… maaf kan Nenek. Nenek terkedu sekajap. Biasanya bila berlaku perkara seperti ini pasti ada sesuatu yang tidak kena. Tetapi nenek tidak pasti apakah ia.” Ujar nenek tua itu sambil matanya melihat kesekeliling.
Kedua pasangan mempelai itu itu juga melihat kesekitar ruang tamu. Tiada apa yang mengjangkalkan.
“Mungkin nenek telah minum banyak kopi hari ini.” Ujar Ibu.
“Hehe… mungkin juga.” Nenek tua tersimpul malu lalu menyambung semula perbicaraan. ”Begini, daripada kematian keturunan penjaga gugusan kepulauan didapati makhluk dari setiap lubuk kejahatan itu boleh dibunuh. Mengikut berita yang diterima, makhluk-makhluk ini mempunyai kuasa yang amat dahsyat. Alam kegelapan hampir dimusnahkan oleh makhluk-makhluk ini. Mungkin kerana pada waktu itu ketujuh-tujuh makhluk itu diturunkan serentak dan pergorbanan nyawa dilakukan sebelum seruan dibuat. Lebih-lebih lagi nyawa yang dipersembahkan itu adalah dari keturunan maharaja. Pada firasat nenek makhluk-makhluk ini sama sifatnya dengan makhluk ajaib yang terdapat didalam alam legenda.”
“Maksud Nenek makhluk-makhluk ini sama dengan Naga Keramat, Gagagk Getir dan lain-lain?” ayah mencelah.
“Begitulah nampaknya. Bermakna, lebih kuat pengorbanan yang dipersembahkan lebih kuatlah makhluk-makhluk ini. Kuat disini bukan sahaja dari segi tenaga tetapi juga dari segi pemikiran. Berkemungkinan besar permaisuri kamu hanya memberikan sedikit pengorbanan untuk menyeru makhluk-makhluk ini dan dia juga telah mengetahui bagaimana untuk memberikan korban selepas seruan dibuat. Sebab itu mereka tidak berada dalam keadaan berkeupayaan penuh dan mampu dibunuh dengan mudah.”
“Nanti… nanti dulu. Maksud nenek dengan ayat makhluk-makhluk bermakna bukan satu sahaja yang berjaya diseru?” tanya ayah inginkan kepastian.
“Benar. Permaisuri hanya menggunakan satu sahaja cincin mutiara hitam untuk membangkitkan amarah kedua keturuanan penjaga. Itu sudah cukup untuk memporak perandakan kedua-dua mereka. Dua lagi diseru dan dihantar untuk membunuh sesorang di alam nyata.”
“Abang…” Ibu risau akan penjelasan nenek tua itu.
“Maksud Nenek I…I… Ijam ke?” terketar-ketar Ayah menyebut nama anak sulungnya.
Nenek tua itu tunduk diam seribu bahasa membuatkan Ibu merasa sangat risau.
“Abang… anak kita bang…” Ibu mengoyang-goyang tangan ayah yang sedang menanti jawapan nenek tua.
“Ya.” Jawap nenek tua itu lemah.
“Ya tuhan!” Ayah melaung dan terduduk sementara ibu pula menangis teresak-esak mengenangkan nasib yang menimpa anak mereka.
“Hai… kenapa dengan kamu berdua? Cuba bawak bertenang. Nenek masih belum habis berbicara.”
Kedua pasangan itu tergamam kembali. Dalam masa beberapa minit ini sudah beberapa kali mereka dimalukan oleh nenek tua itu.
“Pening kepala Nenek dengan perangai kamu berdua. Memang benar dua makhluk itu diutuskan untuk membunuh anak sulung kamu tetapi ada sesuatu yang berlaku dipertengahan jalan sehingga kedua-dua makhluk itu terbunuh serta mengagalkan rancangan Permaisuri. Itulah Nenek katakan tadi kita hanya merancang.”
“Apa.. apa yang berlaku Nek?” tanya ibu sambil mengesat air mata menggunakan lengan baju.
“Panjang ceritanya dan itu semua tidak penting buat masa ini. Apa yang penting sekarang adalah anak sulung kamu itu masih hidup dan dia tidak keseorangan disana. Ada yang menjaganya. Ingat masih banyak lagi kebaikkan didunia ini yang dapat menentang kejahatan.”
Keadaan menjadi tenang semula. Bunyi Ibu menyedut hingus memenuhi suasana.
“Tambah kopi lagi Nek? Makanlah butter kek tu Nek.” Pelawa Ibu melihat makanan yang disediakan tak terluak.
“Kek? Apa buta kek tu Mah?” nenek tua itu kebingungan.
“Maaf Nek. Mah lupa Nenek tak biasa dengan dunia ni lagi. Bukanj buta kek Nek. Butter kek. Butter kek tu sejenis manisan. Makanan kegemaran orang-orang disini.” Jawab Ibu sambil menuang kopi yang sudah agak suam.
“Oh… baiklah. Nenek ingat mata orang buta. Pelik pula nenek sejak bila pulak kamu jadi hantu makan mata orang. Kamu ke yang masak ni Mah?” seloroh nenek tua itu sambil mencubit sedikit makanan dan memasukkan kedalam mulutnya.
Ibu tersenyum simpul lalu berkata. “Ish Nenek ni. Kesitu pulak. Yer Nek. Mah masak bila ada masa terluang. Itu sahaja yang kami ada petang-petang ni Nek. Kejap lagi baru nak masak makan malam.”
“Em… sedap buta kek ni. Boleh Nenek bawak balik sikit?” mulut nenek tua itu kelihatan penuh mengunyah. 
“Butter Kek. Boleh… ambillah banyak-banyak Nek. Kejap Mah ambil beg plastik.” Segara ibu bangkit dari duduk.
“Terima kasih Mah” Dengan pantas nenek tua itu mengambil beberapa potong kek lalu dibungkus dengan beberapa helai daun pokok ketapang yang telah dicuci. Kemudian ia diikat dengan beberapa helai tali halus yang dibuat dari urat-urat akar pokok.
“Oh… sudah lama kami tidak nampak sesuatu dibungkus begitu kan Mah.” Ayah nampak sedikit terkejut dengan tingkah laku nenek itu.
“Ya lah abang… sudah lama Mah tak buat macam tu. Dekat sini pakai beg plastik je Nek.”
“Beg plastik tu apa Mah?” tanggannya sibuk melilit bungkusan.
“Beg plastik tu lebih kurang macam daun yang nenek pakai cuma tahan lama dan boleh nampak isi didalamnya.” Jelas Ibu
“Begitu… tidak mengapa Mah. Nenek lebih biasa menggunakan daun. Dekat sini banyak pokoknya dan lebat-lebat daunnya. Dari itu Nenenk sudah tahu tentu orang-orang disini tidak biasa memakainya. Kalau di tempat Nenek pantang sahaja daunnya sebelum menjadi tua sudah dipetik orang.” Tersenyum terukir diwajah nenek tua itu.
“Hahaha… betul tu Nek. Nenek singgah tidur disini dulu ya. Makan malam bersama kami. Nenek nampak penat tu.” Jemput Ayah.
Nenek bingkas bangun setalah menghabiskan kopi yang dituang semula. “Nenek terpaksa tolak perlawaan kamu Awal. Nenek minta maaf. Ada hal lain yang Nenek perlu uruskan.”
“Alah selalu sahaja macam itu. Sekali-sekala Nenek datang singgah lah tidur disini dahulu.” Gesa Ayah yang mengekori nenek tua itu menuju kepintu keluar diekori ibu.
Dipintu keluar nenek tua itu berpaling dengan wajah sayu lalu menghulurkan tangan. Ayah menyambut tangan berusia itu dengan salaman bercium. Tanda hormat kepada seseorang yang lebih tua dari mereka. Perlahan nenek tua itu mengusap rambut Ayah lalu berkata “Awal… jaga diri dan keluarga kamu baik-baik.”
Ibu juga melakukan perkara yang sama. Tidak teragak-agak nenek tua itu membelai rambut ibu seraya berkata “Kamu pun begitu juga Mah. Jaga diri dan keluarga kamu baik-baik.”
Perasaan hiba kembali melanda diri Ibu. Walaupun Ibu sentiasa merasa sedih akan pemergian dalam pertemuan, kali ini dia tidak dapat menahan perasaan sebak sehingga mengalirkan air mata setelah berpelukkan dan bercium pipi dengan nenek tua itu. Dia dapat meraskan ini mungkin kali terkahir mereka bertemu.
“Jangan bersedih Mah… apa pun yang berlaku jodoh pertemuan itu ditangan tuhan. Ingat pesan Nenek kita hanya merancang. Berwaspada selalu dan lakukan yang terbaik. Permaisuri kamu tidak akan berhenti disitu walaupun dia sekarang berada didalam keadaan yang sangat gering. Dia pasti akan kembali dengan rancangan-rancangan gelap selagi cita-citanya tidak tercapai. Ingat Awal… yang akan datang pada kamu berkemungkinan besar adalah lima yang terakhir. Mereka lebih kuat dan menakutkan dari tiga yang pernah diseru dahulu.”
“Jadi Nek… apa yang perlu kita buat sekarang?” tanya ayah.
“Jalankan tanggungjawab seperti yang telah diamanahkan kapada kamu sebaik mungkin dan bersiap siagalah selalu.” Kata nenek tua itu dengan penuh semangat.
Kedua pasangan mempelai itu menganguk tanda setuju. Setelah berpaling dan bersedia untuk melangkah pergi Ibu sempat membalas pesan.”Terima kasih Nek. Nenek pun hati-hati ya…”
“Terimkasih Mah. Jangan dikhuatiri akan keadaan Nenek. Jikalau tidak sia-sia sahaja orang mengelar Nenek salah seorang dari tiga orang cerdik pandai di alam kita.” Nenek tua itu berpaling muka dan melontarkan senyuman lalu melambai tangan selamat tinggal dan berkata sebelum menghilangkan diri.

“Ataupun Nenek Kebayan.”
Tamat Bab 4

No comments:

Post a Comment