Wednesday, 1 April 2015

Alam Legenda: Legasi Legenda, Bab 3: Bermulanya Sebuah Tragedi

Orang kata, malang tidak berbau. Ajal maut siapa yang tahu. Ia berlaku tanpa diduga dan tiada seorang pun yang dapat meramal dengan tepat atau mengetahui akan kejadiannya. Hidup di dunia ini penuh dengan perkara-perkara sebegitu. Sama ada kita menyukainya ataupun tidak ia tetap akan terjadi. Lumrah kehidupan. Kita hanya mampu untuk membuat pilihan dan bukan penentunya. Takdir telah menentukan pada malam ini dia bersama keluarganya akan mengharungi satu tragedi yang amat dahsyat. Tragedi yang tidak dapat dilupakannya sehingga mati. Tidak pernah dalam seumur hidupnya akan terfikir berlaku tragedi seperti ini. Ia hanya pernah didengar mahupun jarang dilihat. Pada malam ini dia sendiri akan merasai kedahsyatannya.
“VROOOMMMM...” kedengaran enjin kenderaan mengaum dengan kuat sekali.
Ayah cuba memecut selepas dia mengucapkan kata-kata yang tak dapat difahami. Akibat momentum pecutan penumpang belakang terhumban kebelakang.
‘...50 km/j... 60 km/j... 70 km/j...’ jarum penunjuk kelajuan kenderaan bergerak meningkat naik.
Pada waktu yang sama, Ibu seperti memahami apa yang diucapkan ayah dengan segera menukar raut wajah cemas serta tidak lagi bertanya sebarang soalan. Seolah-olah segala persoalan di dalam benak hatinya telah terjawab. Bagi ibu, ini adalah kali kedua dia melihat wajah suaminya begitu cemas dan kali terakhir adalah apabila mereka berdua didatangi oleh seorang nenek tua pada tahun lepas di rumah. Nenek tua misteri yang langsung tidak dikenali oleh anak bongsu ini.
Imbas Kembali
Hari itu merupakan hari minggu di mana seluruh ahli keluarga berada di rumah, kecuali abangnya. Bagi budak muda sepertinya, apalagi yang boleh dilakukan pada tengahari panas terik melainkan menonton televisyen. Sedang asyik menonton, tiba-tiba dia terdengar suara serak-serak basah memberi salam di luar rumah. Perasaan tidak puas hati membuak-buak kerana tumpuan menonton rancangan kegemarannya terganggu.
“Ishhhh... siapa pulaklah yang datang rumah petang-petang macam ni. Nak tengok tv pun kacau je.” terkeluar perkataan tidak puas hati itu dari mulutnya perlahan.
Ibu yang berada di dapur mendengar suara itu berulang kali memberi salam, tetapi tidak bersambut. Berang dia memekik. “Orang bagi salam buat tak tau je. Pergi tengok siapa yang datang tu. Hei... budak ni apa nak jadi?” 
“Argh! Yelah, yelah...” jawab budak lelaki itu sambil menggaru-garu kepalanya.
Perlahan dia bangkit dari duduk dan berjalan menuju ke tingkap cermin berlapis yang terdapat di sebelah pintu. Selepas membuka sedikit tingkap, kedua biji matanya melilau mencari siapakah gerangannya yang memberi salam tadi. Di luar, berdiri bongkok seorang nenek tua yang berseri-seri wajahnya dengan senyuman walaupun faktor usia terselah pada kedut-kedutan pada wajahnya. Pakaian juga ringkas, berbaju kurung serta berkain dan berseledangkan kain batik.
Tetapi apa yang lebih mengkagumkan adalah tongkat putih yang dipegang erat oleh tangan kiri nenek tua itu. Ia sangat indah buatannya dengan ukiran-ukiran halus menghiasi beberapa bahagian tongkat. Sesiapa yang melihat pasti akan terpesona. Kedua biji mata terpaku seketika melihat keindahan tongkat itu. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia melihat tongkat yang sebegitu hebat. Renungannya terhenti apabila nenek itu menegurnya dengan senyuman manis.
“Err... cu.. ibu dengan ayah ada di rumah?” Tanya nenek tua itu dengan lembut.
Terkejut, budak lelaki itu berhenti dari renungannya. “Ehh... Nenek... ahh... ibu ngan ayah ada. Tapi kami tak nak beli kerepok Nek. Dalam rumah kami banyak keropok...” katanya dengan nada selamba kerana disangkakan nenek tua itu peniaga dari rumah ke rumah.
“Err... bukan... nenek ni…” terdiam apabila tiba-tiba disampuk.
“Hmm... Nenek ni... ayah kami ada kilang keropok tau. Jadi kami ada banyak keropok. Nenek cakap jelah apa jenis keropok pun, semua kami ada. Ok... kami tak nak beli keropok Nenek. Dah, dah, jangan buat muka kesian kat sini. Kami tak nak beli.” Satu penjelasan yang tidak masuk akal.
“Err... sabar cu... Nenek belum habis berbicara lagi... “ nenek tua itu mengeleng-gelengkan kepala.
“Argh! Nenek ni degil betul. Tau tak ayah saya polis. Nenek nak masuk penjara ke? Keras kepala betul. Karang saya report kat ayah saya kang. Ha... Baik Nenek pergi dari sini cepat sebelum saya report.” ugutnya dengan nada yang agak keras serta jarinya menuding-nuding ke sana-sini.
Mengetahui bahawa pendirian budak lelaki itu tidak akan berganjak, nenek tua itu cuba mengakalinya. “Err... tadi cucu cakap ayah cu seorang ahli perniagaan, tapi sekarang cu cakap ayah cu seorang anggota polis. Err... yang mana satu betul ni cu?”
“Eh... aaa... arghhh... Nenek ni banyak tanya lah...” tersepit, budak lelaki itu menjawab dengan kemarahan sambil menarik-narik rambutnya sendiri.
Ibu yang sedang sibuk melakukan kerja di dapur tiba-tiba menyedari akan ada sesuatu yang tidak kena. Tiada sebarang maklum balas diterima dari anak bongsunya selepas beberapa minit arahan diberikan berlalu. Terlalu lama masa diambil. Dengan itu, ibu segera berhenti dari kerja sehari-harinya lalu bergerak ke ruang tamu. Di situ dia dapat melihat anak bongsunya sedang menarik-narik rambut dengan kedua belah tangan serta menjelir-jelirkan lidah. Tidak tumpah seperti orang gila lagaknya.
‘Budak ni... apa jadah dia buat dekat tepi tingkap tu lama-lama sampai tarik-tarik rambut, jelir-jelir lidah macam tu... tu lah pasal banyak sangat tengok benda bukan-bukan kat tv tu jadi macam tu.’ bisik hati kecil ibu.
Dengan mencekak pinggang, ibu berjalan terus menuju ke arah tingkap. Anak bongsunya yang berkelakuan aneh itu sedikit pun tidak merasai kehadiran ibu di sebelah. Tanpa mengendahkan kelakuan anaknya itu, dia segera melihat keluar tingkap. Alangkah terkejutnya apabila melihat kehadiran gerangan nenek tua itu berdiri di luar rumah. Wajah terkejut ibu segera bertukar ceria yang teramat sangat. Seperti seseorang yang telah terjumpa dengan saudara rapat. Saudara rapat yang begitu lama terpisah.
“Eh Nenek... bila sampai ni? Jemput masuk Nek.” Ibu menjemput dengan nada girang sambil membuka daun pintu.
Walau bagaimanapun nada kegembiraan ibu tidak tahan lama. Kebolehan ibu menukar perwatakan memang menakjubkan. Dengan pantas ibu segera bertukar tona suara kepada nada garang yang keras apabila bercakap dengan anak bongsunya.
“Ishhh... budak ni... yang macam orang gila ni kenapa?” ibu spontan meluku kepala anak bongsunya.
“Aduihh... apa ibu ni? Sakitlah...” budak lelaki itu mengosok-gosok kepala cuba melegakan kesakitan.
Dengan kedua tangan mencekak pinggang dan mata yang berkilauan ganas, ibu merenung tajam ke arah anak bongsunya. Dia masih menanti jawapan ke atas persoalan yang diutarakan sebentar tadi.
“Hahh... ohh... tadi tu saja berlakon macam orang gila supaya nenek tua tu pergi. Orang dah cakap tak nak beli keropok dia nak jugak jual. Degil betul. Ibu dah halau ke?” Budak lelaki itu selamba bertanya seolah-olah nenek tua itu tidak lagi berada di situ.
“Itu bukan orang jual kerepok. Itu Nenek Keba...” percakapan ibu berhenti secara mendadak. Hampir-hampir terlepas cakap.
Kehairanan dan penuh perasaan ingin tahu yang kuat, budak lelaki itu bertanya lagi. “Nenek keba apa ibu?”
“Err... bukan, silap. Nenek belah ayah kamu. Hah... kenapa tak dijemput Nenek ni masuk tadi?” ibu segera cuba untuk menukar topik perbualan dengan jari telunjuk dihala-halakan kearah nenek tua itu.
“Lah... tadi ibu cakap suruh tengok je.” jawapnya ringkas dan bersahaja.
“Eh... budak ni pandai menjawab pulak tu. Nak kena lepuk lagi kepala ni.” ibu berkata dengan garang sambil menghayun tangan kanan untuk meluku kepala anaknya sekali lagi. Namum pergerakan itu terhenti betul-betul di hujung rambut apabila terdengar nenek tua itu menegur.
“Mah... tidak mahu jemput Nenek duduk?” tanya nenek tua itu dengan senyuman.
“Eh... eheh... mari Nek duduk.” jawab ibu lalu segera membongkok dan memegang tangan nenek tua itu untuk diiring masuk ke ruang tamu. Sempat dia menoleh dan memberikan pandangan tajam kepada anak bongusnya. Dengan nada perlahan seperti orang yang menahan perasaan marah ibu berkata. “Tercegat apa lagi dekat situ hah... pergi panggil ayah kamu kat dalam bilik tu cepat. Ish...”.
************************
“80 km/j... 90 km/j... 100 km/j...” jarum penunjuk kelajuan kenderaan meningkat naik lagi.
************************
Tanpa sebarang persoalan anak bongsunya segera meninggalkan tempat itu dan bergerak menuju ke bilik tidur utama. Kedua beranak itu tahu bahawa pada waktu-waktu begini, ayah akan meluangkan masa berehat dan tidur di biliknya. Di dalam perjalanan dia tidak berhenti-henti memikirkan gerangan nenek tua itu.
‘Biar betul ibu ni... bukan nenek belah ayah dah meninggal ke?’ fikirnya sambil menggaru-garu kepala.
Setibanya di bilik tidur dia dapati ayah sedang terbaring dan wajahnya menghala ke atas dengan mulut ternganga luas melayan keasyikan berdengkur. Perlahan dia melangkah dan menghampiri ayah. Sedikitpun ayah tidak sedar akan kehadirannya di sisi. Dia tidak sampai hati hendak menggerakkan ayah dari tidur dengan cara mengejut seperti yang biasa dilakukan terhadap abangnya dahulu. Dia sedar, ayah tentu penat dan keletihan kerana lewat malam semalam barulah ayah pulang ke rumah. Tetapi terbayangkan wajah ganas ibu dia segera menghalakan tangannya untuk membangkitkan ayah. Akan begitu ada sesuatu yang membuatkan dia menarik balik tangannya dengan mengejut serta mengundur sedikit kebelakang.
“Ada apa?” terkeluar perkataan itu dari mulut ayah secara tiba-tiba. Mata masih lagi tertutup rapat.
Budak lelaki itu mengurut-ngurut dada untuk meredakan lonjakkan degupan jantung yang kuat. “Ish... ayah ni. Selalu macam tu. Terkejut orang dibuatnya”
“Hm... macam itu pun terkejut.” Ayah memerli.
“Iyalah... ingatkan tak perasan.” Anak bongsu keluarga itu mencebik.
“Hm... Ya... ada apa?” tanya ayah lagi sambil memusing badan membelakangi anaknya.
“Ibu panggil. Ada orang datang umah. Ibu cakap nenek belah ayah datang.” Dia mengulangi apa yang dipesan oleh ibu.
Ayah segera memusingkan badan ke arah anak bongsunya. “Hah... nenek belah ayahkan dah meninggal.”                        
“Entah... ibu yang cakap macam tu.” kedua bahu diangkat tinggi tanda ketidakpastian.
Ayah bangkit dari perbaringan lalu mengosok-gosok kepala dan mengikat kain pelikat bercorak petak kebiruan yang telah londeh. “Biar betul ibu kamu ni. Buang tebiat ke apa gamaknya...”.
Setelah memakai baju singlet ayah keluar dari bilik meninggalkan anaknya terpinga-pinga. Dia tidak tahu apa yang perlu lagi dilakukan seterusnya. Dalam kepala otaknya asyik memikirkan tentang rancangan televisyen kegemarannya tadi.
‘Cis... mesti dah habis. Semuanya nenek tua tu punya pasal. Geramnya aku... Dahlah duduk kat depan. Macam mana aku nak tengok tv ni?’ Perasaan marah dan tidak puas hati kembali membuak-buak.
Seketika kemudian terdengar suara ayah menyambut kedatangan nenek tua di ruang tamu. “Ehh... apa khabar Nek. Lama dah sampai?”
“Sihat hendaknya. Tidak begitu lama, tidak juga baru.” jawab nenek tua itu bermadah.
Dia merasa sangat hairan dari nada yang dikeluarkan oleh ayah menyambut tetamu tua itu sebentar tadi. Tiada langsung menunjukkan kehairanan. Ia berbunyi seolah-olah seperti seseorang yang bertemu dengan sahabat lama. Kenapa pula dia yang sentiasa berada dengan ibu dan ayah tidak pernah ingat akan wajah nenek tua itu sebelum ini. Tidak mungkin juga dia terlupa. Bakat dan kebolehan yang dimilikinya amat jarang sekali membenarkan dia berbuat begitu. Didorong dengan sifat ingin tahu yang kuat dia spontan keluar dari bilik itu dan mengekori jejak ayahnya.
Ayah dengan tenang melabuhkan punggung di sofa menghadap nenek tua itu. “Belum pernah Nenek datang ke rumah kami di siang hari begini. Tentu ada hal penting.”
“Betul tu... ada sesuatu yang penting ke Nek?” sampuk ibu yang baru sahaja keluar dari dapur membawa sedulang minum petang.
Tetamu tua itu tidak menjawab segera persoalan pasangan suami isteri di hapadannya. Dengan senyuman dia melihat dan menanti sehingga ibu selesai menuang dan menyediakan minum petang. Memang kebiasaan ibu akan menghidangkan apa sahaja yang ada di dapur jikalau tetamu datang bertandang. Biarlah ia sekadar biskut kering.
Ibu perlahan menyerahkan secawan air teh panas kepada tetamu tua itu. “Minum dulu Nek.”
“Terima kasih Mah.” Nenek tua itu membaca sesuatu di mulutnya sebelum air panas itu dihirup dengan kedua mata ditutup rapat.
Ibu perlahan duduk di sebelah ayah lalu kedua suami isteri itu merenung gelagat nenek tua. Masing-masing menanti perkhabaran tetamu tua itu.
“Begitu enak air yang kamu buat Mah. Selama ini memang tidak ada orang yang pandai membuat air kopi sehebat kamu. Memang nenek dating sini pasti terliur mengenangkan air kopi ini. Untung laki kamu dapat minum kopi yang enak seperti ini.” Ujar nenek tua itu sambil melirik pandangan kepada ayah.
Tetapi wajah kedua pasangan itu tidak menunjukkan sebarang reaksi. Meraka tidak sabar untuk menendengar perkhabaran.
“Mah... Awal... perkhabaran tu memang ada. Hai... darah orang muda memang tidak faham akan erti kesabaran.” tegur nenek tua itu dengan tenang sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Ibu dan ayah tidak membalas sedikit pun akan teguran itu sehingga keadaan menjadi senyap. Begitu hormat kedua pasangan kepada tetamu tua ini. Seolah-olah tetamu tua ini adalah seseorang yang mempunyai pangkat besar. Mereka berdua juga faham apa yang dimaksudkan oleh tetamu tua itu adalah supaya mereka bersabar. Tidak berapa lama kemudian nenek tua menyambung kembali percakapannya.
“Begini sebenarnya... ka...” nenek tua itu berhenti bertutur secara tiba-tiba.
Kedua-dua biji matanya sedang mengekori sekujur tubuh yang kurus kering serta berkepala agak besar berjalan lalu di hadapan mereka bertiga. Seolah-olah meniru gaya orang, perbuatan mengekor mata ini juga di ikuti oleh ayah dan ibu dengan mulut sedikit ternganga. Tanpa sedikit perasaan bersalah, budak lelaki itu dengan bersahaja lalu dan duduk selang satu kerusi bersebelahan dengan ibu.
Menyedari akan dirinya menjadi tumpuan, dia pun memandang ketiga-tiga mereka dengan wajah kehairanan lalu berkata. “Apa?”
Ibu bingkas bangun lalu menyinsing kedua belah lengan bajunya sehingga ke paras siku. Dengan sekelip mata dua jari mencubit sudah berada di cuping telinga anak bongsunya.  “Ish... budak ni... buat-buat tanya pulak. Orang tua tengah bersembang sibuk aje dia nak dengar. Sudah pergi masuk bilik tu cepat. Tak baik menyampuk bila orang tua tengah bersembang.”
“Adoi, adoi, adoiai… yelah, yelah…” terteleng teleng kepala budak itu dengan pantas bangun berlalu pergi.
Setelah mendengar pintu bilik ditutup, ibu kembali duduk dan kedua pasangan dengan segera membawa renungan mata kembali kepada nenek tua itu. Begitu juga kelakuan nenek tua itu terhadap pasangan yang berada di depannya. Wajah tenang yang ditunjukkan memang tiada tandingan berbanding pasangan suami isteri itu. Ketenangan ini juga membuatkan dia lambat memulakan bicara sehingga pasangan itu menjadi resah dan gelisah. Suasana begitu hening dan tegang sehinggalah mulut nenek tua itu terbuka untuk berkata-kata.
“Begini sebenarnya... ka... haih...” terhenti lagi percakapan nenek tua itu membuatkan pasangan yang tekun menanti khabar merasa berang.
“Laa... apa lagi Nek?” tanya Ayah sambil tangan kanan menepuk mukanya lalu dileretkan kebawah.
“Ya Nek... apa lagi yang tak kena ni?” tanya ibu pula kebingungan.
“Ada orang sedang mencuri... mencuri dengar perbualan kita” jelas nenek tua itu dengan perlahan-lahan menggelengkan kepala.
“Siapa Nek?” tanya Ibu kehairanan kerana yang ada di ruang tamu itu hanyalah mereka bertiga.
Setelah menghela nafas panjang, tetamu tua itu membalas persoalan dengan senyuman. “Buah hati, jantung, intan, payung, kamu berdualah. Siapa lagi?”
Dengan wajah kemerah-merahan menahan geram, ibu memekik dengan sangat kuat sehingga ayah terpaksa menutup kedua belah telinganya. “MASUK... BILIK!”
“Yerlah, yerlah... THUMB!” anak bongsunya melepaskan geram ke daun pintu.
Tetamu tua itu tergelak dengan tawa yang sangat halus. “Bijak sungguh anak bongsu kamu tu... pandai dia buat-buat masuk bilik tapi sebenarnya dia hanya menutup pintu bilik sahaja... hehehe”.
“Hmm... itu baru sikit Nek. Banyak lagi akal dia Nek. Kami berdua ni pun selalu jugak diakalnya” jawab ibu spontan dengan menghembuskan nafas kuat.
Ayah dengan wajah penuh kesungguhan cuba membawa mereka kembali ke perkara yang lebih penting. “Ya Nek... boleh Nenek sampaikan perkhabaran penting tadi?”
Keadaan menjadi tegang semula setelah ayah mengutarakan pertanyaan. Kini tiada lagi yang dapat mengganggu perbualan mereka. Pasangan suami isteri itu masing-masing mematikan renungan ke arah kedua biji mata tetamu tua itu.
“7 Dosa Yang Membunuh”.
Cemas, tercengang, terkejut, gusar, takut dan bermacam lagi riak riak wajah yang ditunjukkan oleh kedua-dua suami isteri itu. Lebih-lebih lagi wajah ayah yang berkerut-kerut diikuti liritan peluh jantan di dahi kepalanya. Nafas juga tidak teratur dan dada kelihatan turun naik dengan agak pantas.
“Ti.. tidak mung... mungkin” ayah tergagap-gagap seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
************************
“110 km/j... 120 km/j... 130 km/j...” jarum penunjuk kelajuan kenderaan bergerak ke satu tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

“SCREEETTT... DUMMMHHHBBBB...”
Tamat Bab 3

Alam Legenda: Legasi Legenda, Bab 2: Ada Yang Memerhati

Di dunia yang serba moden ini semua perkara haruslah berlandaskan fakta dan sains barulah ia dianggap benar serta nyata. Tetapi dunia moden ini juga penuh dengan khabar-khabar angin serta cerita-cerita aneh yang tidak boleh dibuktikan dengan fakta serta sains. Ia masih lagi kurang difahami apatah lagi hendak lari dan tidak menghiraukannya kerana ia berada di sekeliling. Mungkin ilmu yang ada pada zaman ini gagal untuk mencari penjelasan atau mungkin manusia itu sendiri tidak melihat dengan lebih mendalam. Atau, mungkinkah ia akan menjadi misteri untuk selama lamanya, atau mungkin, tidak pada malam ini. Ada seseorang yang boleh dikatakan bertuah.

“Ya Tuhan budak ni kenapa terjerit-jerit dalam kereta... bingit telinga tahu tak?” Marah ibu sambil kepalanya memaling ke belakang.
Dengan separa terbaring serta wajah pucat lesu, jari telunjuknya menggeletar menuding ke arah tingkap. “Aa... aa... ada mata... mata… mata merah... kat lu... luar... ting... tingkap.”
“Mata apa. Mana ada apa-apa kat luar tu. Ish.. budak ni. Dah besar panjang masih lagi buat perangai. Dah... jangan mengarut tengah-tengah malam macam ni.” terserlah wajah garang ibu yang terkerut-kerut di dahi dan mata terbeliak besar.
Sekarang dia tidak tahu mana satu yang lebih menakutkan. Wajah garang ibunya ataupun mata makhluk yang dilihatnya tadi. Seperti tidak percaya akan kenyataan ibu itu dia kembali menoleh ke tingkap. Benar kata ibu, tiada apa-apa yang ada di tingkap kereta kecuali titisan-titisan air hujan dan kerlipan-kerlipan pancaran kilat.
Dia menoleh ke muka ibu dan dari muka ibu kembali ke tingkap lalu kembali semula ke muka ibu. Dia kehairanan. “Ta... tadi ada.“
“Mungkin lampu kecemasan kereta agaknya kot. Ataupun kamu lebih berkhayal.” kata ayah tenang malah lebih tenang dari ibunya.
Dia merasa sangat pelik kerana dia amat yakin apa yang dilihatnya sebentar tadi bukanlah cahaya lampu kecemasan kereta. Dia sangat kenal akan cahaya lampu tersebut meskipun pancarannya akan merebak ke setiap titisan air hujan di tingkap kereta. Apatah lagi untuk banyak berkhayal seperti saudara sedarah sedagingnya yang leboh ekstrem. Dia lebih gemar kepada perkara-perkara yang berdasarkan fakta. Namun, sepasang mata kemerah-merahan serta berurat-urat itu begitu nyata dan lengkap dengan ciri-ciri gambaran tiga dimensi makhluk hidup. Makhluk hidup yang mungkin tidak berasal dari bumi ini kerana dia yakin tiada makhluk di dunia ini mempunyai mata sebesar dan mengerikan seperti itu. Tambahan pula dia sedar kelajuan kenderaan yang dinaiki mereka sudah tentu amat pantas di sepanjang laluan lebuhraya. Mana mungkin ada binatang mahupun manusia yang mampu mengejar kenderaan mereka. Tetapi kemungkinan itu sesuatu yang subjektif.
‘Hmm... Mengikut fakta, haiwan darat yang paling laju adalah harimau Cheetah di mana ia mampu berlari sehingga 113 kilometer sejam dan haiwan terbang pula iaitu burung layang-layang adalah yang terpantas. Ia mampu memecut sehingga 171 kilomteter sejam. Tetapi... harimau Cheetah mana ada tinggal di kawasan hutan hujan. Daya pecutan pun hanya bertahan beberapa minit sahaja. Burung layang-layang pun tidak terbang diwaktu waktu begini. Mungkin burung yang putus cinta dan hendak mati sahaja terbang dalam gelap berhujan. Malahan kedua-dua binatang tersebut tidak mempunyai mata sebesar dan semerah apa yang aku lihat tadi. Hmmm... entah-entah ayah memandu kereta perlahan tak? Aku saja yang fikir ayah pandu laju. Mungkin makhluk yang aku nampak adalah anjing liar atau babi hutan yang mampu untuk mengejar dengan kelajuan kereta sekarang?’ fikirnya akan beberapa logik kemungkinan.    
Segera dia bangkit dari keadaan baring dan duduk semula. Dia dapati ibu sudah mengembalikan kedudukan kepalanya kepada keadaan asal. Lega. Dia tidak lagi perlu melihat wajah ibu yang juga tidak kurang menakutkan. Perlahan dia bangkit dan mendongak sedikit untuk melihat meter halaju kenderaan dari atas bahu ayah. Di belakang lingkaran pengemudi kenderaan terdapat pelbagai meter petunjuk yang disinari cahaya pelbagai warna. Jarum-jarumnya tidak henti-henti bergerak turun naik. Tetapi untuk mengesahkan andaiannya hanya satu meter sahaja menjadi tumpuan, iaitu meter kelajuan yang terdapat di sebelah kanan. Jarum petunjuk bewarna merah bergerak pada tanda aras 80 hingga 110 kilometer sejam sahaja di mana ia menandakan ayah tenang mematuhi had laju yang telah ditetapkan undang-undang.
‘Hmmm...  memang laju. Sudah semestinya anjing liar atau babi hutan tidak dapat mengejar. Kalau dapat pun, kedua-dua binatang itu tidak mempunyai ketinggian sehingga paras cermin kereta. Mana boleh nampak matanya. Kalau ada pun sudah tentu ia adalah anjing liar atau babi hutan yang melebihi saiz normal. Ah... karut, karut. Mungkin betul kata ibu dan ayah tadi? Apa jadahlah bintang-binatang tu nak kejar kereta pulakkan. Nak mati kena langgar ke atau kebukur sangat ke?’ fikirnya lagi, tekun untuk menyelesaikan permasaalahan tanpa disedari ada mata yang sedang memerhati dari tempat duduk hadapan bersebelahan ayah.
Beberapa saat kemudian dan juga berkat perasaan nalurinya yang kuat, dia dapat merasakan pemerhatian itu. Dengan perlahan dan penuh debaran dia pun menoleh kepala ke sebelah kiri. Fikiran terdetik akan kemungkinan mata yang sama muncul semula di luar tingkap sebelah kiri pula.
“WARGHH...” jeritnya terkejut buat kali kedua tetapi dengan tanggapan yang salah.
Kali ini bukan sepasang mata besar kemerahan mengejutkannya tetapi adalah satu wajah bengis yang memerhatikan setiap tingkah lakunya. Wajah ganas milik ibu. Seperti naga memuntahkan api, mulut ibu terbuka luas dan kata-kata pedas dimuntahkan dengan kadar kepantasan yang sangat luar biasa. Kata-kata yang boleh membuatkan telinga sesiapa pun di dunia ini panas kemerah-merahan.
“Buat apa lagi tu... budak ni... kang mak piat-piat telinga tu. Duduk diam-diam kat belakang tak boleh gamaknya. Duduk... kang ayah kamu break mengejut terhumban kamu ke depan baru padan muka. Nak macam tu?” Ibu mengugut dengan nada suara yang agak tinggi.
Wujud perasaan tidak puas hati dalam diri anak bongsu itu. Setelah menghumbankan badan ke belakang, kedua tangan disilangkan ke dada. Merajuk. “Yerlah... Yerlah... Hm... orang bukan buat apa pun. Tengok meter pun tak boleh?”
“Ehh... budak ni. Pandai menjawab eh... nanti sampai jeti siaplah, Ibu piat-piat telinga kamu.” Ibu menunjukkan tangan kanan seperti mencubit dan memulas sesuatu di udara.
Amaran ibu berbunyi amat keras dan menakutkan sekali menyebabkan dia senyap dan tidak lagi melawan kata-kata itu apatah lagi untuk melihat wajahnya. Dengan segera dia menoleh ke tingkap sebelah kanan. Tempat di mana dia terserempak dengan sepasang mata merah sebentar tadi. Jikalau dibandingkan mata merah itu dengan wajah ibu sekarang serta bayangan-bayangan imej pegun kesakitan hukuman dijeti nanti, dia lebih rela memilih untuk melihat mata merah itu.
Keadaan di dalam kereta kembali tenang dan seakan-akan hening. Hanya bunyi desiran tayar kereta ayah di dalam keadaan jalan hujan memenuhi suasana. Di luar pula pemandangan tidak banyak berubah. Ini membuatkan dia kembali dijemput lena. Mata semakin lama semakin berat. Dengan harapan dia akan dikejutkan apabila sampai sahaja dijeti. Fikiran tenang.
‘DUB DUB... PRAK! PRAK! CRASH!’ tiba-tiba satu bunyi datang dari atas bumbung kereta. Kemudian disusuli pula dengan bunyi retakan dan pecahan kaca secara serentak dan mendadak.
Ini membuatkan dia terkejut dari buaian lena buat kali keduanya. Perasaan marah dan tidak berpuas hati kembali menguasai diri. Bagai ditiup angin, perasaan negatif itu segera merudum apabila disedari ada sesuatu yang tidak kena dengan keadaan sekeliling. Badan terasa terhuyung-hayang, terumbang-ambing serta melambung-lambung. Inilah akibatnya jikalau tidak memakai tali pinggang kenderaan. Bersusah-payah dia cuba mengawal keseimbangan badan, namun usaha itu sia-sia kerana momentum kereta menyebabkan dia terbaring kembali di atas kerusi. Dalam keadaan begitu dia dapat melihat bumbung kereta yang melekuk teruk seperti seketul batu besar telah terjatuh di atasnya. Apa yang lebih menyeramkan ialah apabila dia dapat menyaksikan beberapa batang kuku yang besar serta tajam kehitaman telah menembusi dan mencengkam setiap bucu bumbung kereta.
Cermin hadapan kereta telah pecah berderai. Begitu jugalah nasib cermin tingkap yang terdapat di sebelah kanan ayah dan sebelah kiri ibu. Serpihan-serpihan kaca bertaburan di atas papan pemuka kereta serta di atas pemandu dan penumpang hadapan. Pemandangan di luar kereta pula tidak membantu sedikitpun untuk dia memahami situasi. Imej di luar bertukar-tukar antara pokok-pokok hutan dan dinding-dinding batu banjaran dengan kadar yang sangat laju. Dia merasakan seolah-olah telah berada di dalam sebuah mesin basuh yang sedang berputar ligat. Ini membuatkan dia hampir pitam dan termuntah.
Nampak gayanya, kenderaan yang dinaiki mereka telah mengalami kecelakaan. Kereta yang dipandu ayah tidak lagi berada di haluan yang betul dan telah berpusing pusing di atas lebuhraya. Akibat dari impak jatuhan sesuatu yang tidak dikenali diatas bumbung kereta, ia telah menganggu kelancaran momentum pecutan kenderaan lalu membuatkan ayah hilang kawalan.
Bunyi seretan keempat-empat tayar getah kenderaan begitu kuat kedengaran seolah-olah bunyi jeritan berfrekuensi tinggi daripada hantu puaka yang mengerikan dan memekakkan. Dia mula merasa panik, cemas dan ketakutan. Tidak disangka-sangka pada hari ini cerita-cerita seram yang baru sahaja difikirnya sebentar tadi telah menjadi kenyataan. Kini hanya masa sahaja yang akan menentukan hidup mati mereka sekeluarga.
“Ish... ishh... ishhh...“ suara ayah kedengaran berhempas pulas untuk mengawal kembali kenderaan.
Sebentar ke kiri dan sebentar ke kanan, tangan ayah kalut mengemudi stereng. Kedua kakinya pula rancak bertukar-tukar dan menekan-nekan tiga padel utama di bawah. Lagaknya pada ketika itu saling tidak tumpah seperti pemandu trek rentas desa profesional. Mungkin berkat dari pengalamannya mengejar penjenayah beratus-ratus kali ketika menjalankan tugas sebagai seorang anggota polis telah dimanfaatkannya sekarang. Ibu yang berada di sebelah ayah merasa sangat cemas dan telah mula memegang setiap inci kereta untuk mengekalkan posisinya.
“Ya tuhan! Abang. Abang... Hati-hati. Ish..” cemas suara ibu memberikan nasihat kepada ayah.
Nasib baik kedua-dua orang tuanya telah memakai siap tali pinggang keselamatan. Sedikit sebanyak ia dapat membantu mengekalkan posisi pemandu dan penumpang kereta, kecuali, dia. Telah menjadi ketentuan, malam itu dia sedikit cuai kerana selalunya tali pinggang keledar akan menjadi keutamaannya sebelum bertolak memulakan perjalanan. Patutlah dia seorang sahaja di dalam kereta itu yang terpelanting ke sana ke mari di tempat duduk belakang.
Setelah beberapa saat keadaan yang mencemaskan dan mendebarkan itu berlaku, dia merasakan kereta tidak lagi berpusing tetapi melelong sedikit ke sana dan ke sini. Bunyi seretan tayar juga telah menyusut dan kedengaran hanya sekejap-sekejap diikuti dengan kelajuan kereta yang semakin berkurangan. Lama kelamaan kereta kembali berada pada haluannya yang lurus menandakan bahawa ayah telah berjaya mendapat kembali kawalan terhadap kenderaannya. Kuku besar dan tajam yang mencengkam bumbung kereta sudah tidak kelihatan, meninggalkan keempat-empat penjuru berlubang. Hujan juga telah mulai renyai seperti meraikan kejayaan mereka tiga beranak melepasi malapetaka.
“FUH!... “ spontan  penumpang belakang menghelakan nafas kelegaan dengan agak kuat.
Situasi cemas itu terasa seakan-akan berlaku begitu lama walaupun ia hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Tetapi ayah sedikitpun tidak memberhentikan kenderaan mahupun mengalihkan perhatian terhadap pemanduan. Otot-otot ditangannya kelihatan keras menonjol dan sedikit menggeletar akibat tekanan pemanduan yang teramat sangat. Peluh dingin juga penuh membasahi muka dan lehernya. Ibu pula seperti trauma kerana dia tidak lepas-lepas dari memegang erat tali pinggang keledar. Tercengang, ibu memandang wajah ayah dengan penuh kejutan.
Ayah berpaling. Bibirnya kelihatan terketar-ketar sedikit apabila bertanya akan keadaan penumpang belakang. “Ka... kamu, tidak apa-apa?”
Maka barulah dia memahami kenapa ibu tercengang sewaktu memandang wajah ayah. Bendalir yang dilihatnya mengalir pada muka ayah bukanlah semata-mata peluh tetapi ia bercampur juga dengan darah. Darah yang datangnya dari luka-luka kecil akibat hirisan serpihan-serpihan kaca cermin. Antara luka-luka itu, mata sebelah kiri kelihatan mengalami kecederaan paling teruk. Ia terkatup rapat sambil banyak darah mengalir keluar dari dalam. Seolah-olah sepirhan kaca telah mencederakan bebola matanya. Kedua beranak terdiam. Masing-masing risau akan keadaan ayah. Entah apa yang terjadi pada mata sebelah kirinya.
“O.. ok ayah.” jawap penumpang belakang terketar-ketar.
Ayah tersenyum bangga. “Ba... bagus. a... anak jantan mesti kuat.”
Kedua-dua penumpang merasa begitu terharu dengan sikap ayah yang lebih merisaukan keadaan anaknya berbanding dirinya sendiri. Ayah tentu sedang menahan kepedihan dan kesakitan yang amat sangat. Lebih-lebih lagi angin dan air hujan yang masuk mengikut ruang tanpa cermin menambah bisanya. Tiada siapa yang berani pada waktu itu untuk menasihatkan ayah supaya berhenti dari memandu. Namun dia merasa hairan dengan pesanan ayah kerana ia berbunyi seperti amanat terakhir. Tapi itu tidak mungkin. Selama mengenali dan hidup bersama ayah, lelaki itu adalah insan paling kuat yang pernah dikenalinya. Ini dapat dibuktikan sekarang, apabila dalam keadaan cedera teruk, dia masih lagi berdaya untuk memandu kereta.
Ayah mengubah pandangan dan memberi perhatian pula kepada pasangan sehidup semati. “Mah... Mah ok?”
“O.. ok abang.” jawab ibu spontan seperti orang yang telah terjaga dari mimpi. “A... abang bagaimana? Teruk nampaknya. ” ibu lantas mengambil kain di dalam beg tangannya untuk mengelap kotoran-kotoran darah.
Kepala ayah terteleng-teleng mengelak kepedihan dan wajah terkerut-kerut menahan kesakitan dari usapan kain ibu. “Ish... aduih... pelan-pelan Mah. Abang tak ada apa-apa rasanya. Masih lagi boleh bertahan.”  
“Dalam keadaan macam ni pun abang masih lagi nak memandu ke? Berhentilah ke tepi jalan sekejap. Mana tau kalau kalau ada orang ingin membantu kita.” ibu menegah penuh kerisauan.
Ayah berdegil. Kelajuan kereta masih pada tahap minima aedikit pun tidak menunjukkan penurun, namun masih boleh tenang membalas cadangan ibu. “Tak.. tak apa. Kita te... teruskan perjalanan.”
“Abang ni kenapa? Ini bukan masalah sampai awal atau lambat abang... Ini masalah keadaan kita sekarang... dalam kereta ni hanya abang sorang sahaja yang boleh memandu... dalam kecederaan abang macam ni, mungkin lebih teruk kemalangan yang akan menimpa kita nanti. Cermin kereta pun dah pecah. Bahaya memandu macam ni abang.” ibu cuba meyakinkan ayah akan situasi yang mereka hadapi.
Ayah diam seribu bahasa. Wajahnya kembali tidak keruan. Ibu tidak menghiraukan dan mencuba lagi sambil menarik-narik baju ayah yang berlumuran darah. “Abang! Abang! Abang dengar tak apa yang Mah cakapkan ni?”
“Di... Diam! ini bukan masalah cepat... lambat... ini bukan masalah cermin kereta.. lebih bahaya jikalau kita berhenti.” balas ayah dengan suara yang agak lantang dan gelisah.
“Apa maksud abang?” tanya ibu dengan wajah penuh tanda tanya

“Me.. Mereka. Mereka dah datang Mah! Mereka dah datang!” tengking ayah secara tiba-tiba dengan memaparkan muka yang sangat cemas.
                                                                                                                                              Tamat Bab 2

Friday, 31 August 2012

Alam Legenda: Legasi Legenda, Bab 1: Keseorangan


Lumrah hidup manusia di dunia ini yang sentiasa memerlukan teman tidak kira untuk berbicara ataupun cukup dengan hanya kehadirannya. Tiada seorang manusia pun di dunia ini yang mahu hidup bersendirian tidak berteman. Masa akan berlalu dengan amat perlahan dan tiada tempat untuk bergantung harapan. Ramai yang mengatakan mereka selesa hidup bersendirian tetapi pada hakikatnya kehidupan mereka sentiasa melibatkan interaksi sesama manusia samada dalam keadaan sedar ataupun tidak. Disebabkan ini jugalah ramai penjenayah yang dipenjarakan menjadi tidak siuman kerana halangan berinteraksi dengan manusia lain. Tanpa teman seorang manusia akan hilang sokongan dan menjadi lemah serta tidak berdaya.
Inilah apa yang berlaku kepada seorang budak lelaki yang baru berusia belasan tahun. Selalunya dia akan sentiasa bersama dengan ayah dan ibu di sisi tetapi tidak pada malam ini. Keseorangan dia merayau-rayau di dalam hutan tebal yang gelap gulita. Tambahan pula tiada sebarang peralatan dibawa untuk membantunya hidup di dalam hutan tebal seperti kebiasaan pengembara hutan. Hanya sebatang payung yang berlubang-lubang dan sebuah beg galas biasa berisi pakaian yang menjadi teman.Nasib baik pada waktu itu cahaya terang bulan purnama dapat membantu mengemudi perjalanannya pada malam itu.
Keadaan budak lelaki ini juga tidak berapa baik. Pakaiannya terkoyak-koyak dan dipenuhi kesan kotoran dan kebakaran. Garis-garis luka kecil dan kesan-kesan darah terdapat pada setiap pelusuk bahagian badannya yang terdedah. Pergerakkan juga agak perlahan dan tidak keruan. Terencut-encut dia mengharungi liku-liku di dalam hutan. Nasib baik payung yang dibawanya boleh dijadikan sebagai tongkat untuk menampung beban badan. Matanya sedikit kemerahan dan bengkak-bengkak akibat tangisan yang keterlaluan.
Batang-batang pokok kayu yang besar berdiri megah di sekitarnya. Walaupun begitu ada juga yang jatuh menghempas bumi sebelum waktunya menambahkan lagi kesukaran untuk merentasi hutan tebal ini. Tanahnya juga tidak rata, sekejap berbatu dan sekejap dipenuhi belukar serta bonjolan-bonjolan besar akar-akar kayu. Dia juga kadang-kadang terpaksa mendaki  dan menuruni  bukit-bukit kecil. Keadaan dingin malam membuatkan seluruh kawasan hutan lembap dan licin. Berbekalkan selipar jepun, dia melangkah dengan lebih berhati-hati di mana setiap langkah membawa seribu harapan untuk keluar dari kawasan yang tidak bertamadun ini. Walaupun serba kekurangan tetapi semangatnya tetap tabah.
Setelah berjalan entah berapa lama dia mula terasa sengal-sengal dan keperitan di kedua-dua belah kaki. Tanpa banyak persoalan dia mengambil keputusan untuk berhenti seketika dan duduk bersandar di sebatang pokok besar yang terdapat beberapa kaki di hadapan. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah melihat mahupun menyangka ada pokok yang sebesar ini. Pokok yang paling besar pernah dilihat adalah pokok-pokok yang terdapat di tepi-tepi jalan ditanam oleh pihak berkuasa tempatan. Ibunya juga gemar menanam pokok-pokok bunga hiasan di hadapan rumah tetapi beratus kali ganda kecil dari apa yang berada dipersandaran. Tiap-tiap pagi selepas menyiapkan sarapan ibu akan terus menjaga tanamannya. Memang minat ibu menanam selain dari memasak. Teringat akan wajah senyuman ibu, hatinya merasa sangat hiba dan sayu.
“Ibu... isk... isk… ayah… isk…” tangis budak lelaki ini teresak-esak mengenangkan nasib kedua orang tuanya.
Air mata panas kembali mengalir perlahan di pipi. Dia tidak dapat menahan lagi perasaan sedih yang melanda dirinya apabila imej ngeri ayah dan ibu terbayang-bayang di hadapan mata. Tidak disangka-sangka malam ini merupakan malam terakhir dia bersama dengan ayah dan ibu. Malam dimana dia terpaksa berpisah dengan mereka untuk selama lamanya. Begitupun hakikat ini, ia amat berat baginya. Manusia mana yang tidak sedih apabila orang yang amat disayangi, yang menjaga dan mendidik semenjak lahirnya dia di dunia, yang sentiasa berada di masa susah dan senang, suka dan duka, meninggal pergi begitu sahaja. Meninggalkan dia keseorangan di hutan belantara yang penuh ranjau. Dia hanyalah seorang budak mentah yang baru meningkat ke darjah enam. Seluruh badan bergetar menahan tekanan kesedihan.
Terlalu banyak babak-babak dahsyat yang berlaku ke atasnya hari ini sehinggakan dia tidak dapat mencari rasionalnya di mana. Semuanya berlaku dalam sekelip mata dan ini menyebabkan perasaan sedih dan takut bercampur baur di dalam hati. Tetapi berkat kemampuan otaknya yang luar biasa dia dapat mengingat kembali punca semua perkara ini walaupun di dalam keadaan tertekan. Punca yang dia sendiri tidak dapat menerima logiknya walaupun dianugerahi dengan akal yang bijak.
Semuanya bermula sewaktu dia dan kedua orang tuanya dalam perjalanan pergi ke Pulau Langkawi dari Kuala Lumpur. Perjalanan untuk ke destinasi mengambil masa yang lama apatah lagi perjalanan pulangnya. Walaupun begitu mereka sekeluarga sudah biasa akan perjalanan yang panjang itu kerana dalam tempoh beberapa bulan ini, telah hampir berpuluh kali mereka pergi dan pulang mengikut jalan yang sama. Pada mulanya memang penat tetapi apabila dilakukan berulang kali ia telah menjadi satu kebiasaan. Penat lelah yang dirasai mereka akan terubat apabila tiba di pulau itu untuk berjumpa dengan seseorang yang mempunyai pertalian darah. Seseorang yang amat dirindui oleh mereka sekeluarga.
Imbas Kembali
“Abang… kalau penat kita berhentilah dulu di perhentian nanti ya. Bahaya memandu dalam keadaan penat. Lebih lagi dengan keadaan malam dan cuaca hujan lebat begini.” terdengar pesan ibu kepada ayah sekaligus memecah tumpuan semua pemandu dan penumpang kepada siaran radio yang berkumandang di dalam kereta.
Ayah menjawab dengan tenang dan tidak sedikit pun mengalihkan perhatian dari pemanduan keretanya “Ehh... tak apalah. Tak jauh lagi ni. Sikit lagi sampailah. Lagipun dah lewat. Kalau berhenti, entah pukul berapa kita akan sampai nanti. Lagipun lepas jemput kita akan bermalam disanakan.“ .
“Baiklah abang. Mah cuma nasihatkan sahaja. Kalau abang larat teruskan sahaja perjalanan.“ ibu ringkas membalas lalu merenung jauh. Mah adalah nama singkatan bagi Fatimah yang sering kali digunakan apabila pasangan ini berbicara.
“Hm... yelah yelah.“ ayah kerimasan.
Tiada perbualan vokal disambung setelah ayah menjawab percakapan ibu dan tumpuan kembali kepada siaran radio. Keadaan di dalam kereta pada waktu itu agak janggal kerana kebiasaannya ibu akan menyambung lagi percakapannya. Kadang-kadang sehingga bertikam lidah. Adat asam garam rumah tangga. Namun kejanggalan itu sedikitpun tidak dihiraukan oleh budak lelaki yang duduk ditempat duduk belakang membelankangi ayah. Baginya sedikit perkara yang terkeluar dari rutin tidak memberi sebarang maksud. Bosan dengan keadaan itu, dia mula mengalihkan perhatian ke tingkap kereta. Titisan-titisan air hujan kelihatan memenuhi cermin tingkap diikuti pula dengan cahaya-cahaya lampu kereta dari arah bertentangan yang sesekali berkilauan melepasi mereka. Bunyi rintisan hujan, rentetan percikkan air dari tayar kenderaan dan deruman enjin kenderaan memenuhi suasana.
Seraya itu juga, tampa sesiapa pun menyangka, terdengar ibu menyambung kembali percakapannya. “Cu... cuma Mah rasa tidak sedap hati semenjak kita bertolak pergi. Tak pernah Mah rasa macam ni.” 
Sebaik sahaja Ibu meluahkan apa yang terbuku dihati, dia memaling ke cermin sisi kereta disebelah. Kerisuan terukir di setiap inci wajahnya. Menyedari keadaan ibu serba tak kena, ayah pun segera memujuk.
“Alahhh... tak payah risau sangat Mah. Tak ada apa-apa kot tu. Mungkin mainan perasaan awak je. Dulu-dulu, masa awak mengandungkan anak kitapun macam ni jugak perangai awak. Dah lah Mah, jangan pikir banyak sangat.” ayah cuba menyuntik cas positif untuk menenangkan ibu.
“Mungkin...” gumam ibu ringkas menandakan perasaan resah dan ragu-ragu masih menebal.
Memandangkan usahanya tidak berjaya, ayah lalu mendiamkan diri sambil memberi tumpuan terhadap pemanduan. Sayup-sayup kedengaran bunyi guruh di luar berdentam dentum. Apa yang dijangkakan oleh penumpang tempat duduk belakang terbukti benar. Cuma kesinambungannya berlaku agak lambat dan tamat dengan cepat. Keadaan kembali tenang. Masing-masing menyusuri pemikiran sendiri diikuti alunan musik radio. Penumpang belakang masih lagi memberi perhatian kepada keadaan diluar kenderaan. Tiada apa yang dapat dilihat diluar sempadan jalanraya kecuali kegelapan. Apabila cahaya-cahaya kilat memancar di langit, barulah sedikit persekitaran lanskap dapat dilihat. Itupun sejenak sahaja.
Imej bayang-bayang pokok pelbagai saiz serta banjaran-banjaran gunung memenuhi seluruh kawasan. Baginya ia bagai sebuah permainan kerana setiap apa yang muncul di ufuk adalah sesuatu yang berlainan dan semuanya bergantung kepada kekerapan berlakunya pancaran kilat. Semakin banyak kilat memancar semakin banyak imej yang boleh dilihat dimana dia boleh juga meneka-neka. Apalagi yang boleh dilakukan oleh budak lelaki di dalam kotak besi bergerak selain menjadi lebih kreatif mencipta permainan sendiri untuk menghilangkan bosan. Melihatkan pemandangan itu dia tahu dimana mereka berada sekarang.
Inilah jalan lebuhraya yang menghubungkan utara dan selatan tanah semenanjung atau lebih dikenali dengan nama lebuhraya utara-selatan. Panjang lebuhraya ini dari hujung ke hujung adalah lebih kurang 800 kilometer dan ia terpaksa merentasi hutan-hutan tebal serta banjaran-banjaran besar yang terdapat ditengah-tengah tanah semenanjung. Di sini, jalan lebuhraya tidak lagi mendatar. Ia berliku-liku mendaki dan menuruni banjaran yang tinggi. Sesiapa yang melaluinya pada waktu siang pasti akan terasa gayat melihat gaung yang dalam disisi jalan. Perutnya penuh dengan pokok-pokok yang besar.
Keadaan akan bertambah menakutkan jikalau cuaca hujan kerana jalan akan menjadi bertambah lincin dan pemandangan pula menjadi kurang jelas. Lorong-lorong laluan pula tidak tetap dimana sesetengah kawasan terdapat tiga lorang dan setengah yang lain pula terdapat dua lorong. Lori-lori dan bas-bas besar banyak melalui jalan ini tidak kira siang atau pun malam. Disebabkan faktor-faktor anamoli di kawasan seperti ini, peratusan berlakunya kemalangan jalanraya meningkat dengan mendadak.
Tidak kurang juga yang mengaitkan kemalangan di lebuhraya ini dengan pelbagai cerita-cerita seram, misteri dan menakutkan terutama sekali bagi kes-kes kemalangan yang tiada penyudahan. Dia banyak mendengar pelbagai cerita ini dari rakan-rakannya. Ada yang mengatakan jalan ini berpuaka dan ada juga yang menceritakan lebuhraya ini dibina diatas kubur lama serta tidak kurang juga yang berkata sesetengah bahagian lebuh raya ini merupakan laluan orang-orang bunian. Diantara banyak-banyak desas desus ini yang paling menarik perhatian adalah kisah dimana jalan ini dihuni oleh makhluk-makhluk yang tidak dikenali asal usulnya.
Sebagai contoh baru-baru ini telah berlaku satu kemalangan yang tidak dapat dikenal pasti sebab musababnya. Kereta yang terlibat tidak berlanggar atau mempunyai sebarang kesan pelanggaran. Ia terletak elok di tepi jalan. Apa yang menjadikan kejadian itu satu kes kemalangan adalah trajedi maut yang menimpa pemandu kereta tersebut. Keadaan mayat mangsa didapati begitu aneh dan mengerikan. Mayat mangsa ketika ditemui tidak berkepala dan seluruh bahagian dadanya telah dirobek. Kebanyakkan organ dalaman mangsa telah hancur dan hilang tanpa kesan seolah-olah telah dimakan sesuatu. Kedudukan mayat pula pelik kerana ia bukan berada di dalam kereta mahupun di sekitar kawasan kemalangan tetapi berada di atas bumbung kereta. Menurut laporan forensik, kesan-kesan gigitan serta tabiat pemakanan tidak sama dengan binatang-binatang buas tempatan.
Saksi yang masih hidup adalah merupakan isteri kepada pemandu. Menurut laporan polis, dia adalah satu-satunya saksi yang dapat memberikan keterangan. Bahkan dia juga telah melihat dengan mata kepalanya sendiri kejadian ngeri dan menakutkan itu berlaku. Keterangan saksi menyatakan trajedi ngeri berlaku pada lewat tengah malam dimana keadaan lebuh raya sangat lengang. Hanya kenderaan logistik dan beberapa kenderaan persendirian sahaja mundar-mandir. Seperti kebiasaan, mereka sekeluarga pasti akan melalui lebuhraya itu untuk pulang ke rumah setelah melawat rumah saudara dari arah utara. Cuma pada hari kejadian mereka pulang lewat malam kerana hal-hal disana selesai pada waktu itu. Sewaktu dalam perjalanan, tiba-tiba mereka terdengar bunyi dentuman kuat di atas bumbung kereta seperti ada sesuatu yang jatuh di atasnya. Dengan segera mangsa terus memberhentikan kenderaan di laluan kecemasan dan segera keluar untuk memeriksa. Saksi yang berada di tempat duduk penumpang hadapan tidak menyedari kehilangan suaminya sehinggalah dia terdengar bunyi dentuman yang lebih kuat berulang beberapa kali di tempat sama.
Risau akan ketiadaan suaminya, dia segera keluar dari kenderaan dan mendapati ada seekor makhluk yang besar sedang melapah sesuatu di atas bumbung kereta yang dinaiki mereka. Menurut saksi, dia tidak pernah melihat binatang atau makhluk hidup seperti itu sepanjang hidupnya. Disebabkan keadaan malam yang gelap perempuan itu tidak dapat menggambarkan makhluk aneh itu tetapi serba sedikit menyatakan ia berwarna hitam, bermata merah saga dan bertaring serta berkuku panjang. Pada mulanya dia tidak mengetahui apakah yang sedang dimamah oleh makhluk aneh itu sehinggalah dia terlihat pakaian suaminya membaluti sekelumat daging diatas bumbung kereta. Apabila diteliti dengan betul dia mendapati makanan makluk itu adalah tubuh suaminya sendiri yang sudah tidak berkepala. Akibat dari perasaan terkejut yang amat sangat, perempuan itu menjerit dengan sekuat hatinya lalu jatuh pengsan.
‘Ehh... cita tu bukan kat highway karak ke? Ah... mana-manalah. Highway mana pun semua sama je. Menakutkan. Lebih-lebih lagi dalam kegelapan malam. Ish... meremang bulu roma aku.’ Dia memeluk tubuh dan menggigil seketika tanda kengerian. 
Dalam suasana begini, memang agak menakutkan apabila teringat kembali cerita-cerita seram yang berlaku di lebuhraya. Tetapi dia sekeluarga telah berbulan melalui jalan yang sama dan tidak pernah mengalami apa-apa pengalaman pelik serta menakutkan. Bagi seorang penduduk bandar sepertinya, cerita-cerita aneh seperti ini hanyalah urban legend yakni cerita-cerita yang tiada kepastian benarnya dibawa dari turun temurun oleh pembawakan mulut manusia. Walau bagaimanapun, melihatkan keadaan banjaran-banjaran tanah yang tinggi serta hutan-hutan tebal yang gelap gulita tidak hairanlah cerita-cerita menakutkan seperti itu timbul di kalangan masyarakat. Masakan pokok bergoyang jikalau bukan kerana anginnya.  
Berimiginasi keseorangan di tempat duduk belakang sambil melihat panorama luar membuatkan otak merasa penat lalu menyebabkan dia hampir-hampir hendak terlena dijemput tidur untuk menikmati mimpi-mimpi indah. Kedua orang tuanya senyap tidak berkata apa menguatkan lagi perasaan mengantuk yang melanda. Siaran radio pula tidak putus-putus menyanyikan lagu namun sedikit pun tidak membantu mengubati perasaan lalok. Ditambah pula di waktu-waktu lewat malam begini, suara pengutara radio yang bertugas garau serta mendatar.
Beberapa milimeter lagi sebelum kelopak matanya menutup tirai ada sesuatu perkara berlaku. Inilah satu-satunya kejadian aneh yang berlaku dan mungkin juga yang terakhir kepada mereka semenjak beberapa bulan melalui lebuhraya ini. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang janggal berlaku di lebuhraya pada waktu itu. Bunyi desas desus diluar kenderaan yang didengarinya sebelum ini semakin berkurangan. Keadaan semakin lama menjadi semakin sunyi. Kenderaan-kenderaan dari arah bertentangan mahupun dari arah yang sama juga semakin lama semakin berkurangan. Lama kelamaan terasa seolah-olah hanya kereta mereka sahaja melalui jalan tersebut. Dia tidak tahu sama ada kedua orang tuanya menyedari akan perubahan ini namun sedikit pun dia tidak mengendahkannya kerana panggilan nikmat tidur lebih menggoda.
“Yaaaa... itulah tadi... lagu yang amat menyentuh perasaan dari Anuar Zan... lagu yang memenangi banyak anugerah baru-baru ini... tahniah, tahniah, tahniah diuca zis... sekarang kita akan memainkan lagu terbaru... dari seorang artis wani zis... ling popular ketika ini... zis... lag zis... ajuk zis... Jangan Berahsia... zis... leh Siti Nor zis... lijah... deng... zis...” radio kereta ayah rosak lagi. Tersekat sekat seperti sukar untuk mendapat gelombang frekuensi siaran.
Ayah berang. Tangan kirinya memulas-mulas punat cuba mencari kembali siaran frekuensi radio yang lebih baik. “Ish... takkan rosak lagi. Baru je perbaik minggu lepas ni. Aduih... melayang lagi duit aku bulan ni.”
Kelakuan ayah pada waktu itu mengembalikan perhatian penumpang kereta kepadanya. Terbatal terus niat kelopak mata penumpang belakang untuk menutup tirai lantas membiarkan matanya terbeliak besar. Kepala terdongak-dongak cuba hendak melihat kekecohan diruang hadapan. Spontan dia melihat jam elektronik yang berada di atas radio dimana ia menunjukkan sudah tepat jam 12 malam.
“Zis... shehzis... ssshehhhzzizzzz... zzzziizzz... zzziizzzz...” menandakan usaha ayah gagal.
“Rosak lagi lah ni. Hm... nak kena pomen pulaklah jawabnya.” gumam ayah kegeraman sambil menekan butang tutup dengan agak kuat.
“Sabar bang... mungkin kawasan ni kurang siaran. Nanti depan sikit cuba buka balik. “ saran ibu dengan nada yang tenang.
“Hm...” dengus ayah masih lagi tidak berpuas hati dengan keadaan itu.
Betul juga kata ibu. Mungkin kawasan pendalaman seperti ini sukar untuk mendapat siaran frekuensi radio yang bagus. Dengan tenang penumpang belakang kembali bersandar dan menarik nafas panjang. Tetapi perasaan tidak selesa masih lagi menyelubungi. Ia bukan disebabkan oleh radio yang rosak atau perasaan marah ayah. Ada sesuatu yang tidak kena. Terasa seperti sedang diperhatikan. Perlahan dia mengalihkan pandangan kembali kearah tingkap kereta.

“WAAAARGHHHHH...” tiba-tiba bergema suara jeritan yang kuat di dalam kereta.

Tamat Bab 1